Umany: Empat laporan polis berkaitan cadangan mansuh matrikulasi

Umany: Empat laporan polis berkaitan cadangan mansuh matrikulasi

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menerima empat laporan polis berhubung kenyataan dikeluarkan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Tang Yi Ze susulan cadangan memansuhkan matrikulasi melalui portal berita tempatan.

Kenyataan dilaporkan bagi menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai laluan tunggal kemasukan ke universiti awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kenyataan tersebut didapati berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat serta kegentaran awam.

“Setakat ini empat lagi laporan polis telah dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Umany tersebut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan akan menjalankan siasatan sewajarnya.

“Orang ramai turut dinasihatkan sentiasa berhemah serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.

Mengikut peruntukan undang-undang, Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, Presiden Umany, Tang Yi Ze menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).

Bagaimanapun, tuntutan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi, selain risau pemansuhannya akan mengurangkan peluang akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar dan tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×