PETALING JAYA: Laluan kemasukan ke universiti awam melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi wajar diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bukannya Kementerian Pendidikan (KPM).
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perpecahan sistem kemasukan universiti sedia ada menjadi antara punca utama berlakunya kontroversi berulang saban tahun berkaitan isu kemasukan pelajar.
Katanya, kerajaan pernah membincangkan cadangan supaya kedua-dua laluan tersebut disatukan di bawah KPT yang lebih memahami keperluan institusi pengajian tinggi serta pelajarnya.
“Penyatuan laluan ini di bawah KPT akan membuka ruang kepada pembentukan satu sistem tunggal kemasukan universiti yang lebih telus, adil dan bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Nik Nazmi turut mencadangkan pewujudan simulator khas bagi membolehkan pemohon universiti awam menyemak peluang kemasukan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka.
“Perlu ada proses yang jelas supaya pelajar dan ibu bapa dapat memahami sistem kemasukan universiti dengan lebih telus,” katanya.
Minggu lalu, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) mencadangkan supaya program matrikulasi digantikan 12 September lalu, kenyataan Presiden Umany, Tang Zi Ye mengenai cadangan pemansuhan matrikulasi menerima kecaman beberapa parti politik sehingga membawa kepada permohonan maaf persatuan itu.
Bagaimanapun, Umany menegaskan cadangan pelaksanaan sistem peperiksaan itu bukan isu perkauman, sebaliknya usaha untuk mewujudkan proses kemasukan universiti yang adil dan telus.
Namun, Universiti Malaya (UM) mempertahankan program matrikulasi dengan menyatakan ia berfungsi sebagai sistem pendidikan komprehensif yang memberi akses lebih luas kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang. – UTUSAN










