KUANTAN: Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1447 Hijrah/2025 Masihi, dalam majlis penuh istiadat yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mewakili Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Abdul Rahman, 66, yang menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama lebih empat dekad, memulakan kerjayanya sebagai guru agama pada tahun 1982 sebelum diberikan amanah memegang jawatan Mufti Pahang selama 16 tahun, bermula 2008 hingga bersara pada 2024.
Beliau menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas kurniaan tersebut yang disifatkan sebagai satu penghormatan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada seluruh warga Jabatan Mufti Negeri Pahang.
“Jawatan mufti adalah jawatan yang benar-benar mematuhi ketua agama Islam iaitu Sultan Pahang dan saya mengharapkan begitulah, bahawa kita tidak terlibat dengan mana-mana parti, mana-mana pihak politik.
“Kita bekerja sebagai orang yang sentiasa mengambil perhatian tentang agama ini yang mana ketua agama ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sepanjang kerjayanya, Abdul Rahman pernah berkhidmat sebagai kadi di beberapa daerah antaranya Cameron Highlands (1988–1989), Temerloh (1990–1994) dan Kuantan (1994–2000), sebelum dilantik sebagai Timbalan Mufti pada tahun 2000 dan kemudiannya Mufti Negeri Pahang pada 2008. – UTUSAN










