BUTTERWORTH : Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk Tabung Kasih @ Hawana 2026 bagi membantu pengamal media yang memerlukan bantuan atau sumbangan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sempena majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini, hari ini.
“Saya ingat, hari ini, seramai 773 pengamal media di seluruh negara telah terima sumbangan berjumlah RM2.26 juta (menerusi Tabung Tabung Kasih @ Hawana 2025).
“Jadi, disebabkan ini, kerana semangat ihsan dan kasih, maka, Tabung Kasih @ Hawana 2026 diberi peruntukan sebanyak RM1 juta,” katanya pada majlis sambutan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan peruntukan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta bagi membantu organisasi media melaksanakan inovasi serta pengukuhan operasi transformasi digital mereka.
Katanya, sehingga kini, terdapat sebanyak 72 syarikat media yang menerima pembiayaan keseluruhan di bawah dana berkenaan yang berjumlah RM24.57 juta bagi Fasa 1 hingga Fasa 5.
“Kita telah sediakan peruntukan serta dana ini untuk digunakan dengan sebaiknya. Jadi, ini adalah berita baik untuk saudara-saudara (pengamal media). Maka, jalankanlah kerja dengan baik,” ujar beliau.
Sementara itu, Anwar turut berharap agar pengamal media dapat mempertahankan etika kewartawanan selain menyampaikan maklumat yang tepat kerana setiap info yang diberikan itu mampu mempengaruhi keputusan untuk masa depan negara.
Beliau berkata, dalam hal ini, ahli falsafah terkenal, Socrates juga pernah mengungkapkan bahawa, kebebasan tanpa batas boleh menggugat demokrasi sekiranya ia tidak dipandu oleh prinsip kebenaran dan profesionalisme.-UTUSAN










