TUDM terima lima meisngan FN MAG 58M untuk EC725 - Utusan Malaysia

TUDM terima lima meisngan FN MAG 58M untuk EC725

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini secara rasmi menerima mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62 millimeter (mm) bagi kegunaan helikopter EC 725.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, perolehan aset tersebut dapat memperkukuhkan keupayaan operasi mencari dan menyelam tempur (CSAR), khususnya bagi misi di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, perolehan sistem persenjataan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TUDM meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan aset udaranya selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Pemasangan sistem persenjataan ini akan meningkatkan tahap keselamatan semasa operasi dilaksanakan, sekali gus membolehkan misi menyelamat dijalankan dengan lebih berkesan dan selamat. Senjata itu merupakan antara sistem persenjataan yang terbukti berkesan dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia,

“Bagi tujuan tersebut, kerajaan Malaysia telah menandatangani surat setuju terima (LOA) dengan syarikat pengeluar senjata terkemuka dari Belgium, FN Herstal bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62 mm, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Helikopter EC 725 merupakan antara aset utama pasukan itu yang berupaya melaksanakan pelbagai misi termasuk operasi CSAR, bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal dan operasi khas.

Kenyataan tersebut juga berkata, sebelum penyerahan rasmi dilakukan proses ujian penerimaan akhir (FAT) telah dilaksanakan bermula 30 Mac hingga 4 Jun lalu melibatkan No. 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No. 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.

“Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, piawaian keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM,” jelasnya.

Langkah perolehan itu dilihat mampu meningkatkan keupayaan helikopter EC 725 dalam melaksanakan operasi CSAR, khususnya dalam situasi yang memerlukan tindak balas pantas di kawasan berisiko tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN