WHO bimbang wabak Ebola makin cepat merebak di Congo

WHO bimbang wabak Ebola makin cepat merebak di Congo

GAMBAR fail petugas kesihatan berada di dalam zon merah di sebuah pusat rawatan Ebola di Butembo, Congo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak Ebola yang meragut nyawa di Republik Demokratik Congo (DRC) merebak dengan pantas, meskipun usaha untuk membendung virus itu dipertingkatkan.

Ketua Kecemasan WHO Afrika, Marie-Roseline Belizaire berkata, pihaknya masih berusaha mengejar situasi yang semakin memburuk di timur laut negara itu.

“Wabak ini masih serius dan berkembang dengan pantas. Namun saya melihat tindak balas yang semakin kuat setiap hari,” katanya kepada wartawan di Geneva menerusi sidang media dari Bunia, ibu kota wilayah Ituri di Congo.

Wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lalu, walaupun penularannya sudah lama tidak dikesan. Ia dilaporkan berpunca daripada strain Bundibugyo yang jarang ditemukan, dan ketika ini tiada vaksin tersedia untuk melindungi daripada virus tersebut.

Setakat ini, sebanyak 896 kes disahkan di Congo, termasuk 232 kematian, dengan 21 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut kemaskini WHO.

Lebih 90 peratus daripada kes Ebola yang disahkan di Congo direkodkan di wilayah Ituri, kawasan yang sekian lama bergelut dengan konflik bersenjata.

Wabak itu turut merebak ke wilayah Kivu Utara dan Kivu Selatan.

Belizaire berkata, penularan wabak yang berlaku dengan begitu pantas menyebabkan pasukan kesihatan terpaksa bekerja keras untuk memastikan langkah tindak balas sentiasa seiring dengan penyebaran virus, yang boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan rapat dan cecair badan individu dijangkiti.

Menurut beliau, jumlah katil rawatan yang disediakan untuk pesakit Ebola meningkat daripada sifar kepada lebih 500 ketika ini.

Beliau turut memaklumkan pasukan pemantauan kini sedang menyiasat hampir 400 amaran kes disyaki Ebola dan mempunyai kapasiti untuk menjalankan lebih 2,000 ujian sehari.

Selain itu, usaha mengesan kontak rapat individu yang dijangkiti turut dipertingkatkan, dengan 75 peratus daripada keseluruhan kontak kini berjaya dikesan dan dipantau.

WHO sebelum ini menyatakan sekurang-kurangnya 95 peratus kontak perlu dikenal pasti dan dipantau bagi membolehkan wabak itu dikawal dengan berkesan.

Di negara jiran, Uganda, yang menjadi satu-satunya negara lain terjejas akibat wabak berkenaan, sebanyak 19 kes disahkan telah direkodkan termasuk dua kematian, manakala 10 pesakit dilaporkan telah pulih.

Uganda juga tidak melaporkan sebarang kes baharu dalam tempoh 12 hari lalu.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN