Buah binjai lubuk rezeki peniaga

Buah binjai lubuk rezeki peniaga

SITI Khadijah Che Mat Razamin menunjukkan buah binjai yang dijualnya di Kampung Batu 31, Machang, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Buah binjai yang semakin sukar ditemukan bukan sahaja menjadi buruan penggemar rasa masam dan manis, malah menjadi lubuk rezeki kepada peniaga di sepanjang jalan Machang-Kuala Krai di Kampung Batu, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Buah nadir yang sinonim dengan daerah Machang dan Kuala Krai itu mendapat permintaan menggalakkan setiap kali musimnya tiba pada September, biarpun semakin kurang dikenali terutama dalam kalangan generasi muda.

Seorang peniaga, Siti Khadijah Che Mat Razamin, 25, berkata, binjai manis enak dimakan segar, manakala binjai masam lazimnya dijeruk atau digunakan dalam masakan seperti sambal buah binjai.

“Pelanggan khususnya generasi muda, tidak mengenali buah binjai, tetapi bila saya beri rasa, mereka yang meminati rasa masam akan membelinya,” katanya.

Binjai masam gred A dijual RM20 bagi lima biji, manakala binjai manis RM20 bagi empat biji. Binjai biasa pula dijual RM10 bagi lima biji, manakala binjai jeruk dijual RM20 sebotol.

Siti Khadijah berkata, kira-kira 100 biji buah binjai habis dijual setiap hari, namun jualan meningkat sehingga dua kali ganda ketika cuti umum dan cuti sekolah.

Permintaan turut didorong pelanggan dari luar kawasan yang singgah di gerainya untuk mendapatkan buah berkenaan.

Peminat buah binjai, Rogayah Mat Rani, 60, berkata, buah berkenaan dibeli untuk dibuat jeruk.

“Jeruk binjai tahan setahun kalau disimpan dalam peti ais.

“Jika dibuat sambal belacan dan dicampur dengan buah binjai, rasanya sangat sedap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN