Aisha, Mila ada cara tersendiri hidupkan watak Gusti Puteri - Utusan Malaysia

Aisha, Mila ada cara tersendiri hidupkan watak Gusti Puteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pun bermula pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, peminat sudah lebih awal membanding-bandingkan penyanyi, Aisha Retno dan pelakon Mila Mohsin yang membawakan watak Gusti Puteri dalam teater tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbandingan ini bermula ketika keduanya hadir ke sebuah rancangan hiburan terbitan Astro baru-baru ini. Warganet mula membuat telahan saat menyaksikan persembahan sedutan ketika keduanya mempromosikan pementasan itu, baru-baru ini.

Sebilangan besar netizen beranggapan Aisha lebih kedepan dari segi nyanyian, lebih lembut gemalai ketika mempersembahkan tarian Keraton jawa berbanding Mila.

Ada juga netizen yang mengandaikan pemilihan Mila atas dasar nepotisme atau ‘kabel’ ibunya, Tiara Jacquelina yang merupakan pelakon asal Puteri Gunung Ledang yang merangkap penerbit eksekutif dan pengarah pementasan ini.

Agak tidak adil untuk perbandingan itu dibuat, kerana masing-masing mempunyai kekuatan yang hanya dapat disaksikan ketika Puteri Gunung Ledang The Musical membuka tirai pada 31 Oktober ini.

Aisha mungkin mempunyai kelebihan dari segi nyanyian dan tarian, tetapi Mila mempunyai aura dan kemantapan ilmu lakonan. 

Diminta pandangan mengenai isu tersebut, kepada pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata perbandingan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi apabila satu watak penting di bawa oleh dua wanita yang mempunyai kelebihan tersendiri.  

“Dalam dunia hiburan, di mana pun sekalipun, perbandingan adalah perkara biasa lebih-lebih lagi membabitkan wanita. Kebiasaannya, peminat akan membandingkan penyanyi A dengan penyanyi B, pelakon C dengan pelakon D.

“Itu menjadi lumrah yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana penggiat seni. 

“Kalau boleh, nasihat saya, berpada-padalah dalam melakukan perbandingan. Pada penghujungnya, kami berdua hanyalah manusia biasa,” katanya.

Setiap pelakon yang terpilih untuk menjayakan Puteri Gunung Ledang The Musical dipilih berdasarkan kriteria dan kredibiliti dalam membawakan watak masing-masing.

Malah, ada pelakon yang mengambil inisiatif sendiri, terbang ke Solo, Indonesia untuk menimba ilmu, berguru serta mendalam budaya Jawa secara lebih mendalam. 

“Kami bekerja keras untuk menjayakan watak Puteri Gunung Ledang ini. Bekerja siang malam, berlatih hari ke hari demi menjayakan watak Gusti Putri. Dan pemilihan kami dibuat oleh Tiara Jacquelina yang nampak akan kelebihan dan keunikan masing-masing dalam membawakan peranan ini.

“Pada saya, tiada istilah siapa lebih popular, siapa lebih gemalai tariannya dan siapa lebih merdu nyanyiannya. Semua pelakon yang dipilih untuk menjayakan Puteri Gunung Ledang adalah layak dan mempunyai kehebatan masing-masing. 

“Insya-Allah, kami mengharapkan sokongan anda (penonton). Saya janjikan persembahan yang terbaik dan anda tidak akan menyesal menontonnya nanti,” katanya lagi.

Puteri Gunung Ledang The Musical bakal dipentaskan bermula 31 Oktober hingga 15 November ini di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN