SHAH ALAM: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan duit syarikat secara tidak sah, empat tahun lalu.
Tertuduh, C. Sandra Sheager, 63, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rafiqha Hanim Mohd. Rosli. Bagaimanapun kertas pertuduhan tidak menyatakan jumlah wang yang diambil.
Warga emas itu dituduh yang sebelum ini berkhidmat di syarikat penjual komponen penghawa dingin didakwa menggunakan harta syarikat atau hasil penjualan sisa logam tanpa mendapat persetujuan daripada suatu mesyuarat agung yang hanya bermanfaat kepada dirinya.
Kesalahan itu dibuat dekat pejabat syarikat berkenaan iaitu di Seksyen 26, di sini pada 20 September 2017 hingga 10 September 2021.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 218(1)(a) dan Seksyen 218(2) Akta Syarikat 2016 dan sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak lebih RM3 juta atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zulkhairi Kamaruzaman dan Hamizah Sobree memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun Peguam, Muhammad Aidil Akmal Sharidan memohon mahkamah untuk mengenakan wang jaminan berjumlah RM1,500 bagi setiap pertuduhan memandangkan Sandra Sheager sudah tidak bekerja lagi.
Hakim Rafiqha Hanim menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan yang perlu dibayar tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula dan serahan dokumen pada 16 Jun. – UTUSAN