Balik sekolah ayah tanya, hafal lagu apa? – Nadeera

Balik sekolah ayah tanya, hafal lagu apa? – Nadeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sebulan, malah bertahun-tahun diperlukan untuk Nadeera mengecapi populariti hari ini.

Berkat sentuhan Hael Husaini dan Iqie Hugh menghasilkan Bukan Lagi Kita, Nadeera menggondol gelaran naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39 menjadikannya kejayaan terbesar penyanyi itu setakat ini.

Malah, Nadeera sekali lagi dengan gandingan Hael Husaini dan Iqie Hugh menciptakan gelombang fenomena hari raya dengan lagu hit, Meriah Lain Macam yang melatari lambakan video netizen di media sosial. Nama Nadeera atau Farah Nadeera Zaini makin dikenali sehingga dilamar mengadakan showcase yang tiketnya terjual dalam masa tiga minit.

Ketika ditanya siapakah tulang belakang yang mendorongnya untuk tidak patah semangat, Nadeera tersenyum riang memperkenalkan satu nama iaitu bapanya, Zaini Muda. Sejak kecil, bapanya sangat yakin bahawa Nadeera bakal bergelar penyanyi besar di Malaysia. Siapa sangka, doa seorang bapa terkabul juga walau memakan masa bertahun-tahun.

“Sejak kecil lagi sekitar usia 7 tahun, balik sekolah sahaja mesti ayah akan tanya ‘sudah nyanyi? Hafal lagu apa hari ini?’. Saya pun cerita hari itu saya nyanyi lagu apa, kadang hafal lagu asli tradisional.

“Bak kata orang, mungkin ayah tengok bakat saya boleh bernyanyi sebab itu dia bersungguh mahu saya bergelar penyanyi. Hari-hari saya disuruh nyanyi di rumah siap beli set karaoke lagi.

“Sampai satu fasa, saya keluar masuk pertandingan berkali-kali. Tapi tetap tak jadi sesiapa. Sama juga, hasilkan ‘single’ tapi tidak ke mana. Ayah tahu itu semua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dedah juara Big Stage musim kelima itu lagi, sebenarnya harapan bergelar penyanyi sudah semakin menipis dalam diri. Lagu ciptaan Hael itu merupakan cubaan terakhirnya sebelum mematikan impian buat selamanya.

“Bila saya dapat telefon tawaran bernyanyi ‘Bukan Lagi Kita’, sebenarnya itu adalah usaha yang terakhir. Saya suka lagu itu, cuma sudah tidak mahu lagi berharap. Penat kecewa lagi.

“Siapa sangka dengan berserah, rezeki memang tidak pernah salah alamat,” katanya.

Bercerita mengenai petua mengekalnya vokal setiap kali memberikan persembahan, Nadeera mengutamakan tidur yang cukup bagi memelihara keunikan suara.

“Saya sentiasa ingatkan diri untuk mengambil makanan tambahan. Selain itu, tidur memang penting.

“Bagi saya, suara satu-satunya ‘harta’ yang paling bernilai. Dengan vokal saya mencari rezeki dan menghiburkan semua. Ini satu-satunya yang perlu saya jaga,” ceritanya.

Ketika ditanya strategi untuk mengekalkan fenomena Nadeera, penyanyi itu mengakui ia merupakan fasa yang sukar. Namun dia memilih menggantung seluruh kepercayaan kepada rezeki.

“Mengekalkan populariti sebenarnya bergantung kepada rezeki, termasuk lagu. Kadangkala ada lagu kita rasa sedap, tapi tak boleh ‘pergi’. Begitu juga sebaliknya.

“Apa yang saya boleh beritahu, saya berjanji untuk buat yang terbaik buat pendengar dan penyokong saya di luar sana. Saya sedar banyak bakat lain akan muncul, kalau lambat, saya akan ‘habis’.

“Namun saya bertekad untuk selalu buat perkara baharu dan berikan kejayaan yang lain,” ceritanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN