MELAKA: Hajat untuk melihat pemain nombor dua remaja wanita negara, Audrey Teng Wen Si layak ke final gagal selepas kecundang pada aksi separuh akhir Kejohanan Antarabangsa Persekutuan Tenis Asia (ATF) Bawah 14 Tahun di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini, semalam.
Pemain ranking pertama kejohanan itu tunduk mudah kepada pemain bukan pilihan dari Korea, Lim YongKyung 2-6, 1-6 pada saingan separuh akhir sebelah pagi.
Bagaimanapun, Audrey menebus kekecewaan itu apabila meraih tempat ketiga dengan menewaskan seorang lagi pemain Korea, Han Jiwoo pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menerusi kemenangan 4-0 dan 4-0.
Audrey ketika ditemui berkata, dia tidak berupaya memberi tentangan sengit sewaktu berdepan YongKyung yang bermain lebih baik daripadanya.
“Saya tidak berupaya menyaingi pukulan servis dan forehand hingga saya tewas mudah 2-6 pada set pertama. Saya cuba bangkit pada set kedua tetapi segalanya tidak menjadi serta tunduk 1-6,” katanya.
Sementara itu, dalam perlawanan akhir beregu lelaki dimenangi pasangan Korea, Suh Yoonjae dan Kwon Minchan yang mengalahkan gandingan Wong Him dan Chan Chun Yiu dari Hong Kong dengan keputusan 6-4, 6-7 dan 16-14.
Bagi kategori beregu wanita pula dijuarai gandingan Korea, Lim YeonKyung dan Hwang Bitna yang menewaskan rakan senegara, Son Hai dan Kim Yeyul dengan keputusan 6-3 dan 6-0.-UTUSAN