R&D jadi pemacu baharu industri semikonduktor Malaysia

R&D jadi pemacu baharu industri semikonduktor Malaysia

TAN CHUN SHENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Malaysia perlu menjadikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai teras utama strategi pertumbuhan industri semikonduktor bagi melonjakkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global.

Naib Presiden Kumpulan dan Pengurus Besar STMicroelectronics Malaysia, Dr. Tan Chun Sheng berkata, kekuatan sebenar Malaysia bukan hanya terletak pada insentif kewangan, tetapi pada pengalaman industri dan bakat teknikal yang telah dibina sejak lebih 50 tahun lalu.

“Malaysia adalah antara negara paling berpengalaman dalam semikonduktor di luar Jepun dan Singapura. Kita ada jurutera berbakat, kemahiran teknikal yang tinggi dan semua ini boleh memperoleh pendapatan atau keuntungan yang lebih. 

“Tetapi sudah tiba masa kita ubah pendekatan insentif. Bukan sekadar bergantung kepada potongan cukai. Cukai syarikat multinasional (MNC) dan salurkan semula kepada geran R&D, insentif penyelidikan dan subsidi gaji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi bual bicara From Production Hub to Innovation Powerhouse: Strengthening Malaysia’s E&E Industry di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Tan turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan skim subsidi gaji untuk pekerja dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan R&D, yang menurutnya akan melonjakkan gaji secara langsung dan menarik lebih banyak bakat ke dalam industri.

“Wang itu bersifat sementara tetapi bakat adalah kekal dan R&D adalah jalan ke hadapan,” hujahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Andrew Chan Yik Hong berkata, pelaburan besar yang disifatkan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan bukti kesungguhan Malaysia membina ekosistem bernilai tinggi.

“Buktinya ada pada angka. Dari 2021 hingga 2024 sahaja, pelaburan yang diluluskan dalam sektor E&E mencecah RM319 juta lebih tinggi daripada jumlah RM289 juta yang kita capai sepanjang 41 tahun sebelumnya, dari 1980 hingga 2022,” katanya.

Menurut beliau, lonjakan ini menunjukkan bahawa pelabur melihat Malaysia bukan sekadar sebagai hab pembuatan, tetapi juga destinasi yang bersedia untuk aktiviti bernilai tinggi seperti R&D dan reka bentuk lanjutan.

“Kita sudah ada ekosistem, kita terima banyak pertanyaan. Ketika pandemik pun ramai syarikat multinasional datang ke sini, walaupun Strategi Semikonduktor Negara (NSS) belum diumumkan lagi,” katanya.

Andrew optimis bahawa Malaysia akan melihat lebih banyak pembinaan kilang fabrikasi (fabs) dalam masa terdekat, namun menegaskan keperluan untuk terus berinovasi.

“Kalau kita mahu melonjak dan tidak hanya meniru negara lain, kita perlu berani teroka industri baharu dan cari cara untuk kekal relevan melalui inovasi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN