KUALA LUMPUR: Pengurusan tak formal, akses terhad kepada pembiayaan serta kekurangan tenaga kerja berkemahiran terus menjadi antara kekangan utama untuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Pakar Ekonomi Kanan Hab Pertumbuhan Inklusif dan Kewangan Mampan Kumpulan Bank Dunia, Dr. Tatiana Didier berkata, tinjauan terbaharu mendapati 40 peratus firma kecil, khususnya yang mempunyai kurang 20 pekerja.
Katanya, data itu berdasarkan Tinjauan Perusahaan Bank Dunia untuk Malaysia yang dijalankan antara awal tahun lalu sehingga Januari 2025.
Jelasnya, kira-kira 20 peratus PKS masih berdepan kekangan kredit dalam pelbagai bentuk berbanding hanya lima peratus bagi firma lebih besar, sekali gus menunjukkan jurang akses pembiayaan yang masih ketara.
“Laporan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC) turut menganggarkan jurang pembiayaan PKS di Malaysia mencecah sekitar 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meskipun pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan sejak sekian lama.
“Keupayaan tenaga kerja juga membataskan pertumbuhan PKS, khususnya dari segi pendidikan dan kemahiran yang belum memenuhi keperluan industri.
“Kesemua faktor ini saling berkait dengan prestasi PKS yang didapati kurang berinovasi berbanding firma besar, sama ada dari segi penghasilan produk mahupun penambahbaikan proses,” katanya pada sesi Boosting Growth of MSMEs sempena Sasana Simposium di Sasana Kijang, semalam.
Menurutnya, tinjauan turut mendapati firma besar mencatat pertumbuhan jualan, pekerjaan dan produktiviti kira-kira dua kali ganda lebih pantas berbanding PKS.
Mengulas mengenai pemacu utama pertumbuhan PKS di negara ini, beliau berkata, produktiviti dan daya saing merupakan elemen penting yang mendorong pertumbuhan sektor berkenaan.
“Kuncinya ialah keupayaan firma untuk membuat pelaburan dalam aset fizikal dan modal insan serta kemampuan untuk menerima, berinovasi dan mengadaptasi teknologi disruptif yang penting untuk pertumbuhan dan produktiviti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tatiana berkata, terdapat beberapa pemudah yang membolehkan firma membuat pelaburan tersebut.
“Pertama, keupayaan firma bukan hanya dari segi kemahiran teknikal, tetapi juga kemahiran insaniah, pengurusan dan organisasi yang membolehkan penyesuaian dan inovasi.
“Kedua, persekitaran perniagaan merangkumi peraturan, insentif, sistem sokongan termasuk landskap persaingan, cukai, penguatkuasaan kontrak dan hak milik yang membentuk cara firma boleh beroperasi.
“Ketiga, keupayaan untuk meluaskan pasaran dengan menarik pelanggan baharu dan menembusi pasaran baharu, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya.-UTUSAN










