PETALING JAYA: Negara anggota ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mampu memainkan peranan besar dalam menangani krisis di Gaza.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, harapan tinggi diberikan kepada blok-blok tersebut yang berpengaruh untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Malah katanya, Malaysia yang bertindak sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini secara konsisten menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin termasuk dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
“Dengan menggabungkan pengaruh diplomatik dan sumber mereka, gabungan ini dapat menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.
“Melalui tindakan bersatu, blok-blok ini dapat membantu meringankan penderitaan akibat krisis yang berterusan dan berusaha memastikan keadilan serta kelangsungan hidup rakyat Palestin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Walid lagi, Malaysia diharapkan dapat menggunakan kedudukan dan pengaruhnya dalam ASEAN bagi menggerakkan negara-negara lain untuk memberi sokongan lebih besar kepada rakyat Palestin.
“Peluang besar untuk memajukan perjuangan ini ialah menerusi perhimpunan antarabangsa yang akan diadakan di Paris pada Jun 2025 dengan dipengerusikan Arab Saudi. Ia akan menjadi platform untuk komuniti antarabangsa menyokong inisiatif meraih serta memperkukuh kemerdekaan Palestin.
“Kami menyeru negara-negara lain membuka jalan kepada keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pengiktirafan sebegini dapat memastikan kedudukan Palestin setaraf dengan negara-negara lain,” jelasnya. – UTUSAN










