KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China sebulat suara menggesa satu gencatan senjata berkekalan segera dilaksanakan di Gaza serta mengecam semua serangan terhadap orang awam yang berterusan di wilayah bergolak itu.
Menerusi kenyataan bersama selepas Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di ibu negara semalam, para pemimpin turut menuntut agar akses tanpa halangan diberikan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan, barangan keperluan asas dan pemulihan perkhidmatan penting di Gaza.
“Ini termasuk membenarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menjalankan kerja-kerja kemanusiaan tanpa gangguan.
“Para pemimpin turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan di Gaza dan menyokong usaha berterusan bagi membebaskan semua tebusan serta individu yang ditahan secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Para pemimpin turut menegaskan keperluan semua pihak kembali ke meja rundingan demi mencapai penyelesaian aman terhadap konflik Palestin-Israel, berlandaskan penyelesaian dua negara dan sempadan sebelum 1967.
“Para pemimpin juga menzahirkan komitmen menyokong pakatan global untuk melaksanakan penyelesaian dua negara, dengan mengambil kira inisiatif Arab Saudi untuk bekerjasama dengan Norway dan Kesatuan Eropah (EU) ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, pemimpin-pemimpin ASEAN, GCC dan China mengiktiraf peranan penting Qatar dalam pengantaraan gencatan senjata serta usaha memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Mereka turut menghargai sumbangan aktif China yang telah memudahkan pemeteraian Deklarasi Beijing mengenai Pengakhiran Perpecahan dan Memperkukuh Perpaduan Nasional Palestin oleh puak-puak Palestin di Beijing pada Julai 2024.
“Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik ini mesti mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva 1949 mengenai perlindungan orang awam dalam masa perang,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China kali pertama dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan menzahirkan solidariti bersama terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat. – UTUSAN