Andy Teh lawan buli melalui sukan kombat - Utusan Malaysia

Andy Teh lawan buli melalui sukan kombat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik kejayaan seseorang, pasti ada cerita yang membentuk siapa dirinya hari ini. Begitu juga dengan Andy Teh, seorang pelakon yang aktif dalam sukan kombat seperti Taekwando, Muay Thai dan Mixed Martial Arts (MMA).

Penglibatannya dalam dunia seni mempertahankan diri bukanlah kerana minat semata-mata, tetapi berpunca daripada pengalaman dibuli sewaktu kecil.

Kini, kemahiran tersebut juga menjadi asbab dirinya berjaya menjulang gelaran juara dalam pertandingan National Martial Arts sebanyak 12 kali.

“Saya mula melibatkan diri dalam seni mempertahankan diri pada umur 10 tahun. Bermula dengan taekwando, saya sertainya kerana dulu saya merupakan mangsa buli.

“Kemudian, saya mula aktif menyertai pertandingan pada usia 11 tahun. Selain taekwando, saya juga aktif dalam Muay Thai dan beberapa seni mempertahankan diri yang lain.

“Sampai sekarang saya sudah 12 kali menjadi juara untuk beberapa pertandingan seni mempertahankan diri,” katanya kepada Pancaindera.

Menurut Andy, sukan kombat bukan sekadar tentang kekuatan fizikal semata-mata malah, banyak mengajar tentang nilai disiplin, kawalan emosi, dan membina jati diri.

“Melalui taekwando ia mengajar kita untuk tingkatkan keyakinan diri. Pada awalnya, saya sertai kerana mahu membalas mereka yang pernah membuli saya. Tetapi saya jadikan ia peluang untuk saya berbakti semula kepada komuniti.

“Sekarang, saya sudah pergi ke lebih 500 sekolah sepanjang lapan tahun ini untuk memberi ceramah mengenai anti-buli. Saya lakukan itu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya pelajar sekolah rendah,” jelasnya.

Selain itu, pelakon yang berusia 39 tahun itu mengakui penglibatannya dalam dunia seni mempertahankan diri sedikit sebanyak merawat trauma lampaunya ketika menjadi mangsa buli.

“Pada saya, kempen anti-buli yang saya jalankan itu merupakan motivasi terbesar saya untuk merawat trauma lampau saya. Saya tidak mahu lihat perkara yang sama terjadi kepada anak muda zaman sekarang.

“Bayangkan ada yang trauma untuk pergi ke sekolah sebab dibuli. Ada mangsa yang takut untuk bersuara. Jadi, kempen seperti itu boleh memberi semangat untuk mereka supaya bertanggungjawab pada diri sendiri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai seni mempertahankan diri, pelakon filem pecah panggung, Blood Brothers: Bara Naga itu sempat berkongsi pengalamannya menyertai MMA Championship buat pertama kali.

Kata Andy, kekalahannya di negara sendiri, Malaysia ketika berentap dengan pemain dari Hong Kong, China suatu ketika dahulu meninggalkan memori yang bermakna dalam hidupnya.

“Walaupun saya sudah beberapa kali menjuarai pertandingan, tetapi saya paling susah untuk lupakan momen ketika saya kalah sewaktu berlawan dengan pemain Hong Kong.

“Itu merupakan tahun pertama saya sertai pertandingan MMA sebagai pemain profesional. Saya kalah teruk. Lebih teruk lagi kalah di tempat sendiri.

“Tetapi kekalahan itu bukan berpunca daripada saya kerana pengadil yang menghentikan perlawanan atas beberapa faktor. Kalau pengadil itu tidak bertindak sedemikian, tangan saya hampir putus,” katanya.

Dalam masa sama, Andy meluahkan rasa lega kerana tidak pernah mengalami sebarang kecedaraan yang serius meskipun sedar seni mempertahankan diri mempunyai risikonya.

“Seni mempertahankan diri ini merupakan sukan kombat. Dia berbeza daripada permainan gelanggang yang lain. Namun, saya rasa beruntung kerana tidak pernah lagi mengalami kecederaan yang serius.

“Saya selalu akan pastikan diri saya bersedia setiap kali mahu bertarung. Sekurang-kurangnya, kalau kalah, saya kalah yang bermaruah,” jelasnya.

Kini, Andy sudah memiliki tiga gim yang menawarkan sesi pembelajaran untuk seni mempertahankan diri dengan harga yang berpatutan.

“Objektif utama saya membuka gim tersebut bukanlah mahu kaut keuntungan sebaliknya mahu mengajar orang ramai. Mungkin betullah kata orang, niat perlu betul barulah rezeki itu terbuka luas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN