KUALA LUMPUR: Orang ramai mahu kewujudan akhbar fizikal dapat diteruskan penerbitannya walaupun banyak maklumat semasa yang kini boleh diperoleh menerusi internet.
Menurut mereka, membaca akhbar fizikal lebih puas dan maklumatnya juga mendalam.
Editor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rohaida Baharudin, 49, berkata, dia lebih gemar membaca secara fizikal berbanding dalam talian kerana terlalu lama membaca online boleh menyebabkan mata rasa sakit.
“Apabila pegang dan selak akhbar fizikal, ada rasa puas. Selain itu, penulisan dalam akhbar fizikal lebih menyeluruh dan mendalam berbanding versi dalam talian yang selalunya ringkas,” katanya ketika ditemui selepas menerima akhbar Utusan Malaysia yang diedar percuma pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini semalam.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan akhbar fizikal, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang sukar mendapat capaian internet.
“Kita tidak boleh hanya fikirkan teknologi semasa. Masih ramai rakyat di kawasan luar bandar yang sukar akses internet, jadi akhbar cetak inilah sumber maklumat utama mereka.
“Saya juga mencadangkan agar pusat sumber di semua sekolah melanggan surat khabar dan edarkannya kepada pelajar di setiap kelas. Ini bukan sahaja memupuk budaya membaca, malah membuka minda mereka terhadap isu-isu semasa,” katanya.
Sebanyak 200 naskhah akhbar Utusan Malaysia diedarkan sejak awal pagi dan tinjauan mendapati rata-rata pengunjung menyambut baik inisiatif tersebut sambil meluahkan rasa teruja apabila menerima akhbar edisi cetak itu.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar, Perak, Nazariah Yahya, 50, yang hadir bersama keluarganya ke pameran itu turut meluahkan keterujaan apabila menerima surat khabar secara percuma.
“Saya memang seronok dapat surat khabar percuma hari ini. Sekarang ini memang jarang beli surat khabar fizikal sebab susah mahu dapat. Balik sekolah mahu pergi beli, kadang-kadang sudah habis,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan berita terkini dibaca melalui dalam talian, namun beliau tetap menghargai akhbar fizikal yang masih tersedia di pusat sumber sekolah tempatnya mengajar.
“Di sekolah saya masih ada langganan akhbar dan saya memang selalu membaca di situ. Saya suka baca isu semasa manakala suami pula lebih gemar membaca ruangan sukan,” katanya. – UTUSAN










