DI sebalik kesahihan kebimbangan sehingga memerlukan perhatian khusus bagi merungkai gaji permulaan yang rendah untuk siswazah, perbincangan lanjut berhubung isu ini wajar bersandarkan data menyeluruh berbanding kes terpencil.
Naratif baru-baru ini, seperti dipaparkan dalam artikel, bertajuk “Pemegang Ijazah Mengeluh Gaji Tidak Setara”, memberi gambaran suram mengenai pendapatan siswazah. Bagaimanapun, perangkaan utama negara menyingkap realiti yang lebih kompleks dan mendalam.
PANDANGAN LEBIH LUAS TERHADAP PENDAPATAN SISWAZAH
Bercanggah dengan dakwaan bahawa kebanyakan pemegang ijazah berpendapatan di bawah RM3,000, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2023 melaporkan kadar gaji pertengahan adalah RM4,409 manakala kadar purata adalah RM4,933.
Angka-angka ini mencerminkan kadar purata yang lebih tepat mengenai pendapatan pemegang ijazah merentasi industri dan bukannya sekadar menumpukan kepada gaji permulaan dalam sektor tertentu.
Malah, platform pemadanan pekerjaan nasional Malaysia, MYFutureJobs menunjukkan bahawa pekerjaan peringkat siswazah mengiklankan purata gaji sebanyak RM4,537 pada April 2025.
Untuk penjajaran yang lebih baik dengan data DOSM, satu lagi perspektif daripada Penempatan Data PERKESO 2024 menunjukkan bahawa purata gaji untuk siswazah yang memasuki PMET (Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Juruteknik) ialah RM3,598.
Perangkaan ini menunjukkan penjajaran yang kukuh antara gaji yang diiklankan dengan gaji sebenar, sekali gus menunjukkan bahawa pasaran buruh lebih kompetitif dan adil berbanding gambaran menerusi tinjauan dalam kalangan majikan.
KONTEKS GAJI PERINGKAT PERMULAAN
Memang benar tawaran gaji peringkat kemasukan sektor awam sebanyak RM2,250 untuk Gred 9 (dahulu Gred 41) adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji pertengahan sektor swasta.
Bagaimanapun, ini tidak memberi gambaran penuh mengenai gaji akhir memandangkan Gred 9 dalam perkhidmatan kerajaan boleh mencecah sehingga RM11,110 selain berserta faedah jangka panjang seperti skim pencen, jaminan pekerjaan dan kenaikan tahunan yang mungkin tidak wujud dalam pelbagai jawatan syarikat swasta.
Pada masa sama, graduan bidang seni dan sains sosial cenderung memperoleh gaji permulaan lebih rendah, dengan sebahagian besarnya disebabkan kerana lambakan graduan di pasaran, permintaan terhad dan permintaan komersil yang kurang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
Menurut data Kementerian Pengajian Tinggi pada 2023, lebih 150,000 graduan atau lebih 50 peratus jumlah siswazah adalah daripada bidang bukan STEM seperti Pentadbiran Perniagaan dan Undang-undang (82,288 graduan), Seni dan Kemanusiaan (22,558), Pendidikan (17,933) dan Sains Sosial (17,539).
Lambakan ini mencetuskan ketidakpadanan yang ketara antara kadar pengeluaran siswazah dengan keperluan pasaran buruh.
Usaha merapatkan jurang ini memerlukan peningkatan kemahiran yang disasarkan dalam bidang tertentu seperti celik digital dan kecekapan analisis, yang penting untuk meningkatkan kebolehpasaran dan membuka laluan kepada peluang kerjaya yang bernilai lebih tinggi, baik dalam sektor awam mahupun swasta.
KES KETIDAKPADANAN, BUKAN LEBIHAN SISWAZAH
Antara isu utama yang dihadapi adalah bukan hanya berkisar kepada lambakan siswazah, tetapi ramai siswazah yang dibelenggu isu ketidakpadanan kerja atau guna tenaga tidak penuh.
Menurut DOSM, 35.7 peratus daripada siswazah yang diambil bekerja pada suku pertama 2025 berkhidmat dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, sekali gus memberi realiti sebenar berhubung ketidakpadanan kemahiran, bukan sekadar lambakan siswazah.
Kadar Kebolehpasaran Graduan (GER) untuk 2024 pula merekodkan kadar 92.5 peratus yang mencerminkan bahawa sebahagian besar graduan sememangnya mampu mendapat tempat dalam dunia pekerjaan.
Justeru, cabaran yang perlu didepani ketika ini ialah ke arah menyelaraskan padanan kelayakan dan aspirasi siswazah dengan kerjaya, berbanding hanya merintis pembaharuan gaji.
APA YANG PERLU DIUBAH?
Daripada terlalu menekankan gaji permulaan semata-mata yang sememangnya lebih rendah sebagai sebahagian perkembangan kerjaya, perbincangan nasional harus terarah kepada penyelesaian lebih mampan dan memberi kesan signifikan.
Antara aspek utama yang memerlukan perhatian ialah menangani jurang kemahiran. Ini perlu melibatkan peningkatan kritikal dalam kurikulum universiti untuk memastikan siswazah dilengkapi dengan aspek kecekapan, sejajar keperluan industri yang semakin berkembang.
Lebih penumpuan kepada pendidikan praktikal dan berkaitan industri juga berupaya menangani jurang antara latihan akademik dan keperluan di tempat kerja.
Sokongan untuk inisiatif peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) juga penting demi memperkasa siswazah untuk beralih ke sektor permintaan tinggi dan yang baru muncul seperti teknologi digital, ekonomi hijau dan pembuatan termaju.
Sektor-sektor ini bukan sahaja menawarkan ganjaran lebih baik, malah berdaya tahan dalam jangka panjang di sebalik persekitaran pasaran kerja yang berubah kian pantas.
Melalui pengumpulan dan analisis data, usaha dirintis untuk meneroka parameter yang berupaya memberi gambaran lebih lengkap antara siswazah yang sudah menjalani peningkatan kemahiran berbanding siswazah yang melangkah keluar dari menara gading.
Walaupun data mengenai perbandingan gaji bagi individu yang mempunyai peningkatan kemahiran adalah terhad, rangka kerja dasar dan penyelidikan sedia ada secara konsisten menunjukkan bahawa peningkatan kemahiran meningkatkan kadar kebolehpasaran, kesediaan pekerjaan dan kemajuan kerjaya.
Penambahbaikan ini biasanya dikaitkan dengan penjanaan kadar gaji lebih baik berbanding siswazah yang baru memasuki tenaga kerja tanpa latihan atau pengalaman tambahan.
Di samping itu, kerjasama industri yang lebih besar mesti terus diberi galakan. Perkongsian berstruktur antara sektor awam dan swasta boleh mewujudkan laluan yang jelas dan bermatlamat daripada pendidikan kepada pekerjaan termasuk latihan amali, perantisan dan program latihan dipacu industri yang memudahkan peralihan ke tenaga kerja dan meningkatkan kualiti pekerjaan.
Walaupun terdapat kebimbangan yang berasas mengenai kelestarian perniagaan, terutama dalam kalangan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS), penindasan terhadap gaji graduan tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian berkesan.
Sebaliknya, pendekatan lebih seimbang dan berpandangan ke hadapan diperlukan, dengan mengintegrasikan ganjaran berasaskan prestasi, insentif kerajaan bersasar dan pembaharuan pasaran buruh secara menyeluruh.
Strategi sedemikian bukan sahaja akan menyokong daya maju perniagaan tetapi juga memastikan pampasan yang adil dan saksama untuk tenaga kerja berpendidikan tinggi di Malaysia. – UTUSAN