Acara maraton menjadi medan untuk para pelari menguji ketahanan fizikal dan mental, selain berusaha mencatatkan masa terbaik masing-masing.
Tidak hairanlah sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat di negara ini.
Dalam masa sama, ia dapat melepaskan tekanan, menikmati suasana komuniti dan menutup tahun dengan pencapaian yang membanggakan.
Antara acara yang berlangsung baru-baru ini ialah Garmin Run Asia Series 2025 yang disertai hampir 13,000 peserta.
Ketua Pemasaran Garmin Malaysia, Sheena Sim berkata, edisi tahun ini menampilkan kelainan kerana tidak menyediakan acara lima kilometer (km).
“Kami mahu memberi peluang peserta atau mereka yang sebelum ini berlari secara santai untuk mencuba jarak lebih panjang dengan berlari atau berjalan dalam keadaan selesa.
“Ini secara tidak langsung menggalakkan aktiviti sihat. Sebab itu kami mengambil keputusan menggantikan acara 5 km tahun ini dengan acara 10 km,” katanya.
Menariknya, ramai pelari baharu dikenal pasti menyertai acara 21 km pada tahun ini.
Dengan sambutan menggalakkan itu, Sheena tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan kategori maraton penuh 42 km dalam edisi seterusnya.
“Bagaimanapun, faktor keselamatan tetap menjadi keutamaan sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Lebih-lebih lagi, penganjuran kategori maraton memerlukan persediaan rapi kerana melibatkan jarak jauh, kawalan laluan dan sokongan logistik berskala besar.
“Kami mahu memastikan ia benar-benar selamat dan memberi pengalaman terbaik, terutama bagi peserta baharu,” katanya.
Edisi kali ini menyaksikan peningkatan ketara penyertaan dan sokongan daripada peserta luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Taiwan.










