‘Mahu kejayaan jadi inspirasi Orang Asli’

‘Mahu kejayaan jadi inspirasi Orang Asli’

RIMARDI David (kanan) bersama ibunya selepas Istiadat Konvokesyen Ke-20 Unimap di Dewan Tuanku Canselor, Pauh Putra, Arau, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang anak Orang Asli suku kaum Semai membuktikan kemampuan generasi komuniti itu untuk berjaya dalam pendidikan apabila menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) dalam bidang Perniagaan Antarabangsa di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Rimardi David, 23, dari Kampung Orang Asli Batu Berangkai, Kampar, Perak, merupakan antara graduan diraikan pada sidang keempat Istiadat Konvokesyen Ke-20 Unimap di Dewan Tuanku Canselor, Pauh Putra, semalam.

Rimardi berkata, beliau berazam menamatkan pengajian di Unimap bagi mengubah masa depan keluarga dan membuktikan bahawa anak-anak Orang Asli mampu menuntut ilmu sehingga menara gading.

“Hasil usaha berterusan, saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang ini dan menggenggam segulung ijazah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kejayaan itu adalah penghargaan kepada bapanya yang bekerja mengusahakan kebun buah-buahan manakala ibu pula seorang suri rumah. Rimardi, anak keempat daripada lima beradik, mengakui antara cabaran dihadapi adalah berjauhan dengan keluarga serta perlu menempuh perjalanan jauh untuk mengikuti pengajian.

“Walaupun kos pembelajaran tinggi, saya bernasib baik kerana mendapat sokongan penuh daripada keluarga, termasuk biasiswa daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (Jakoa),” katanya.

Rimardi berharap kisah kejayaannya menjadi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli untuk maju dan cemerlang dalam bidang masing-masing.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Unimap kerana membuka peluang kepada saya melanjutkan pengajian, sekali gus memberikan masa depan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN