'66 projek bina baharu untuk KKM sedang dilaksanakan JKR'

’66 projek bina baharu untuk KKM sedang dilaksanakan JKR’

ALEXANDER Nanta Linggi (kiri) dan Zulkefly Ahmad (kanan) ketika menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) sempena Majlis Penyerahan Blok Tambahan 10 Tingkat, Hospital Seberang Jaya (HSJ) di Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 66 projek bina baharu yang melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara kini sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua projek itu berada di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan yang dianggarkan mencecah RM2.4 bilion.

Beliau berkata, selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi JKR khususnya Cawangan Kerja Kesihatan juga telah diberi mandat untuk melaksanakan sejumlah 170 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kos berjumlah RM16.47 bilion.

“Daripada jumlah itu pula, sebanyak 62 projek di bawah fasa prapembinaaan (perancangan) dengan anggaran kos sebanyak RM4.05 bilion, 64 projek di bawah fasa pembinaan (bernilai RM7.78 bilion) serta 44 projek pasca pembinaan (siap) dengan kos RM4.54 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Projek Siap Blok Tambahan 10 Tingkat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, hari ini.

Projek Blok Tambahan 10 Tingkat HSJ yang bernilai RM371 juta mengikut kontrak asal itu mula dibangunkan pada 16 Mei 2016, namun, tertangguh atas beberapa faktor termasuk pandemik Covid-19 sebelum menerima sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 12 April yang lalu.

Dilaksanakan secara konvensional perunding iaitu di bawah seliaan Pengarah, Pasukan Projek Khas 1 (PPK 1) JKR Malaysia selaku Pegawai Penguasa, blok tambahan itu mampu memuatkan sebanyak 316 katil pada satu-satu masa, enam dewan bedah serta tujuh jenis wad pelbagai disiplin termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Unit Depedensi Tinggi (HDU).

Dengan siapnya blok tersebut yang akan beroperasi secara berperingkat mulai Isnin ini, kapasiti keseluruhan HSJ dijangka meningkat kepada 729 katil dan 11 dewan bedah, sekaligus memperkukuh statusnya sebagai hospital rujukan utama di zon utara.

Sementara itu, Alexander berkata, terdapat 12 projek dengan kos keseluruhan bernilai RM1.317 bilion dibangunkan di Pulau Pinang di bawah RMK9 sehingga RMK12 oleh KKR ketika ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, lima daripada projek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM139.1 juta berada di bawah fasa prapembinaan atau perancangan, lima projek bernilai RM781.38 juta pula di bawah fasa pembinaan dan baki dua lagi projek yang bernilai RM396.53 juta pula kini telah siap sepenuhnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya