KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti pelaksanaan perjanjian dua hala dengan negara-negara destinasi utama petugas kesihatan Malaysia seperti Arab Saudi, Singapura dan Australia bagi mengawal selia penghijrahan petugas kesihatan dengan lebih berkesan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perjanjian tersebut dilaksanakan selaras dengan kod etika Pertubuhan Kesihatan Dunia, WHO Global Code of Practice on the International Recruitment of Health Personnel.
“Kod etika berkenaan memberi panduan kepada negara-negara anggota dalam menguruskan pengambilan petugas kesihatan antara negara.
“Ia supaya pelaksanaannya lebih beretika, meminimumkan impak kepada negara sumber yang biasanya terdiri daripada negara-negara membangun, selain memelihara kebajikan petugas kesihatan yang berhijrah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai strategi jangka panjang untuk mengekang `brain drain’ dalam sektor kesihatan awam khususnya melibatkan doktor dan jururawat berpengalaman.
Menurut Dzulkefly, KKM turut menarik graduan bidang perubatan dan kejururawatan untuk berkhidmat di KKM dengan melaksanakan program `outreach’ di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan serta memberikan surat tawaran pelantikan bersyarat kepada pelajar semester akhir program perubatan dan diploma kejururawatan.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menarik minat graduan perubatan dan kejururawatan untuk berkhidmat di KKM sebelum mereka diambil oleh majikan di luar negara.
Katanya, usaha mengekang penghijrahan atau `brain drain’ petugas kesihatan dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan dalam meningkatkan daya tarikan dan pengekalan petugas kesihatan dalam sektor awam.
“Antaranya termasuk penambahbaikan pakej penggajian petugas kesihatan dari semasa ke semasa seperti pemberian pelarasan gaji secara berfasa sebanyak 15 peratus untuk kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional, selain tujuh peratus untuk kumpulan pengurusan tertinggi di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Kerajaan juga berusaha mempertingkatkan keterjaminan kerja bagi petugas kesihatan di KKM melalui inisiatif seperti penyerapan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap.
“Seramai 18,397 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan lantikan tetap dari 2019 hingga 2025 manakala 4,500 pegawai perubatan kontrak akan dilantik ke jawatan tetap pada 2026,” katanya. – UTUSAN










