KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan berkompromi sekiranya siasatan kes kematian seorang doktor pelatih wanita di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini mendapati wujud unsur buli.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sedang menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh selaras dengan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
“Saya tidak mahu membuat sebarang tuduhan awal. Kita perlu mendapatkan maklumat menyeluruh sebelum menilai sama ada ia benar-benar melibatkan buli atau sebaliknya.
“Namun, saya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur atau elemen buli,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohd. Hasbie Muda mengenai kes doktor pelatih wanita yang ditemui meninggal dunia di sebuah bilik hospital itu pada Jumaat lalu.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih, Dzulkefly berkata, pengarah hospital dan ketua jabatan telah diarah mengambil tindakan segera terhadap sebarang budaya toksik.
“Bukan sahaja pegawai perubatan pelatih, tetapi pegawai perubatan juga termasuk jururawat perlu dilindungi. Kita perlu mewujudkan suasana kerja yang adil, harmoni dan saling menghormati dalam satu pasukan bagi memastikan ihsan diberikan kepada pesakit serta sesama kakitangan.
“Setiap aduan wajib disiasat segera tanpa melindungi mana-mana individu selaras dengan pemerkasaan pekeliling perkhidmatan sedia ada yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Pekeliling tersebut antara lain melarang penggunaan bahasa kasar, maki hamun, dan penghinaan secara terbuka dalam kalangan penjawat awam, termasuk petugas kesihatan. – UTUSAN










