MELAKA: Melaka menyasarkan kehadiran 300,000 pelancong dari Indonesia bagi mendapatkan rawatan kesihatan di hospital swasta tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, negeri ini menjadi antara destinasi utama rawatan swasta bagi pelancong dari Sumatera, khususnya Pekanbaru, Dumai dan Batam kerana faktor lokasi strategik serta kos yang kompetitif berbanding negara asal mereka.
Katanya, satu daripada empat pelancong perubatan Indonesia ke Malaysia memilih Melaka sebagai destinasi rawatan dan pada tahun lalu untuk Pusat Perubatan Mahkota (MMC) sahaja, ia menerima lebih 95,000 pesakit.
“Kita juga ada Hospital Pakar Putra, Pusat Perubatan Straits Oriental dan Hospital Pantai Ayer Keroh yang aktif menawarkan perkhidmatan rawatan bertaraf antarabangsa dengan kos yang lebih rendah berbanding hospital swasta di Indonesia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Kampung Paya Rumput Jaya di sini, semalam.
Tambah Hee Sem, cadangan membuka semula laluan penerbangan terus Melaka ke Pekanbaru sedang dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan bagi merancakkan lagi kemasukan pelancong kesihatan dari Indonesia.
“Selain pelancongan perubatan, kita juga bincangkan pelancongan agama, pertukaran pelajar dan pelancongan am antara kedua-dua bandar. – UTUSAN