2 wartawan Utusan Malaysia raih ijazah kelas pertama

Dua wartawan Utusan Malaysia raih ijazah kelas pertama

ANTARA graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Istiadat Konvokesyen ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua wartawan Utusan Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila masing-masing menerima ijazah kelas pertama dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, semalam.

Wan Johanna Mumtaz Wan Pa dan Nur Aimi Hazirah Azmal Hizam menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Penyiaran dengan kepujian kelas pertama.

Wan Johanna menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha gigih dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian, selain sokongan berterusan daripada keluarga serta pensyarah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pengalaman sebagai pelatih industri di Utusan Malaysia membentuk jati diri sebagai wartawan muda yang lebih cekal dan matang dalam menempuh cabaran dunia sebenar.

“Saya bersyukur kerana bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang malah berpeluang memulakan kerjaya sebagai wartawan di Utusan Malaysia.

“Berada di lapangan, menulis berita dan menyampaikan suara rakyat memberi makna yang sangat besar kepada saya sebagai seorang wartawan,” katanya.

Sementara itu, Nur Aimi Hazirah berkata, kejayaan meraih ijazah kelas pertama adalah simbol penghargaan buat ibu yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang serta memberi galakan tanpa henti untuk berjaya dalam hidup.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga mengakui pengalaman sebagai pelatih industri di Utusan Malaysia menjadi titik tolak kepada keputusannya untuk terus menyambung kerjaya sebagai wartawan sepenuh masa.

“Ibu selalu berpesan supaya jangan buat sesuatu kerja sambil lewa. Apa saja yang kita pilih dalam hidup, buatlah bersungguh-sungguh sampai habis. Kata-kata itu yang saya pegang sampai ke hari ini.

“Sebaik tamat latihan, saya diberi peluang menyambung kerjaya di sini. Saya anggap ini satu rezeki besar yang membuka ruang untuk saya terus belajar dan berkembang sebagai seorang wartawan profesional,” katanya.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib akan melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung meriah dalam 26 sidang yang melibatkan ribuan graduan dari pelbagai fakulti dan kampus seluruh negara. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini