PETALING JAYA: Penduduk di Gaza kini sekali lagi diambang kebuluran apabila bekalan makanan sedia ada semakin ‘pupus’ kerana rejim Zionis menghalang sebarang kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu sejak Mac lalu.
Lebih membimbangkan, harga makanan di wilayah itu turut meningkat mendadak sehinggakan sekilogram tepung kini berharga lebih RM70 berbanding hanya RM2 sebelum pencerobohan tentera Israel pada 7 Oktober 2023.
Warga Palestin, Asmaa Hussein Saleem Eslayeh berkata, harga makanan di Gaza kini sudah ‘menggila’ disebabkan beberapa faktor luaran dan dalaman yang sedang berlaku.
Katanya, faktor luaran adalah disebabkan tindakan Israel menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan sejak dua bulan lalu manakala faktor dalaman kerana pedagang atau penjual menyembunyikan bekalan.
“Sebagai contoh, makanan ruji kepada rakyat Palestin adalah tepung, namun harganya kini melebihi AS$17 (RM73) sekilogram, sayur dan buah-buahan yang kini sangat jarang ditemui juga dijual pada harga tinggi iaitu sekitar RM45 hingga RM70 sekilogram.
“Bekalan ayam, daging, ikan dan produk tenusu kini sudah tiada lagi di pasaran sejak berbulan-bulan lalu. Namun jika ada penternak kambing yang menjual daging akan mengenakan harga mencecah AS$100 (RM431) sekilogram.
“Jika Malaysia harga petrolnya masih rendah di sini kadarnya sekitar AS$30 (RM130) hingga AS$35 (RM151) seliter,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Asmaa yang kini berada di Khan Younis bersama keluarganya berkata, bekalan air bersih di Gaza juga sudah jarang boleh didapati kerana ketiadaan bahan api dan elektrik untuk menggerakkan alat mengepam air.
Katanya, kebanyakan panel solar yang digunakan untuk menyimpan tenaga elektrik hampir semuanya hancur dibedil rejim Zionis sehinggakan tiada bekalan kuasa di wilayah tersebut.
“Sebelum ini, bekalan air bersih diberi secara percuma atau dijual pada kadar RM10 hingga RM17 bagi setiap 1,000 liter. Tetapi sekarang, jika mahu dapatkan bekalan itu harganya sudah mencapai sekitar RM100 hingga RM150,” katanya.
Asmaa yang juga lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kehidupan di Gaza kini semakin hari semakin perit namun dia percaya ini hanyalah ujian Allah SWT kepada rakyat Palestin.
“Secara umumnya, semuanya semakin susah, tiada apa yang mudah. Itu belum bercakap soal keselamatan lagi, setiap hari ada saja serangan secara rawak dilancarkan dengan niat menghancurkan kehidupan rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










