PETALING JAYA: Semua ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa akan menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan perkara tersebut.
Sebaliknya, tiga daripada ahli Parlimen tersebut memberitahu Utusan Malaysia, dakwaan itu adalah palsu dan mengarut.
Malah, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, beliau dan Datuk Seri Rafizi Ramli setia dengan PKR walaupun meletakkan jawatan sebagai menteri.
“Kami letak jawatan. Kami tak akan khianati parti,” kata Nik Nazmi dalam satu hantaran di X.
Berdasarkan tangkap layar WhatsApp yang dikongsikan malam kelmarin, mesej tular itu mendakwa 11 ahli Parlimen telah menarik sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri. Satu sidang akhbar mengenainya akan diadakan hari ini.
Antara nama tertera ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut tersenarai Nik Nazmi, Lih Kang, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (Johor Bahru); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Datuk Seri Aminudin Harun (Port Dickson).
Ahli Parlimen Subang, Wong, Ahli Parlimen Tanjong Malim yang juga Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yang menafikan dakwaan itu menyifatkan dakwaan tular di aplikasi WhatsApp itu sebagai mengarut.
Demikian juga Wong Chen (Subang) mengatakan ia adalah palsu dan beliau akan terus memberi sokongan kepada Anwar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, tuduhan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada individu bertanggungjawab.
“Saya sedang mendapat pandangan daripada peguam saya jika perlu akan mengambil tindakan terhadap Muhammad Azri (Papagomo),” katanya.
Kar Hing berkata, dakwaan itu merupakan fitnah politik yang berniat jahat.
“Saya menafi sekeras-kerasnya dakwaan dibuat Papagomo dalam satu kenyataan di Facebooknya.
“Pendirian dan idealisme saya dalam perjuangan ini tidak sama sekali berubah walau apa pun keputusan pemilihan parti baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, beliau masih belum memikirkan soal rombakan Kabinet memandangkan dua Menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sedang bercuti.
Perdana Menteri berkata, secara asasnya, penggantian bagi jawatan Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu tidak boleh dilakukan ketika pihak tersebut sedang bercuti.
“Belum, mereka masih cuti. Kita tidak boleh ganti orang masa tengah bercuti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini semalam.
Kelmarin Anwar meluluskan permohonan cuti oleh Rafizi dan Nik Nazmi selepas menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada dua pemimpin PKR itu.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, setelah meneliti permohonan tersebut, Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan dan sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh Anwar.
Sebelum itu, Rafizi dan Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sudah memberi surat pengunduran daripada Jemaah Menteri pada Anwar yang juga Presiden PKR.
Rafizi memaklumkan bahawa beliau akan bermula cuti esok sehingga 16 Jun, sementara Nik Nazmi pula bercuti sehingga 3 Julai ini.
Bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu dilaporkan membuat keputusan tersebut selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti. – UTUSAN










