PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan kepada Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa besar beliau dalam memperkasa pembangunan modal insan negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahiadin berkata, Tun Abdullah dikenali sebagai bapa pembangunan modal insan kerana komitmennya yang tinggi terhadap usaha membina kapasiti institusi dan memperkukuh integriti tenaga kerja di pelbagai peringkat perkhidmatan awam.
“Sumbangan beliau memberi impak besar kepada DOSM, khususnya dalam aspek pemerkasaan organisasi serta penstrukturan semula perjawatan jabatan tersebut.
“Antara legasi penting yang ditinggalkan Tun Abdullah ialah penyusunan semula perjawatan DOSM, diaitu perjawatan sementara seperti penghitung mula diserap sebagai Pembantu Perangkaan tetap antara tahun 1990 hingga 1993.
“Inisiatif tersebut membuka peluang kepada ramai individu untuk membina kerjaya tetap dalam bidang perangkaan negara, sekaligus meningkatkan kecekapan dan profesionalisme tenaga kerja jabatan,” katanya.
Kata beliau, pada tahun 2004, Tun Abdullah menekakan pengukuhan struktur dan fungsi Jabatan Perangkaan Malaysia yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Gabenor Bank Negara dan Timbalan Ketua Perangkawan.
Sementara itu, Uzir berkata, hasil dapatan pakar termasuk firma perunding PwC mencadangkan penambahan tenaga kerja serta pemodenan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memperkukuh keupayaan jabatan.
“Penstrukturan itu telah diluluskan pada tahun 2007 dan menyaksikan penubuhan 10 Pejabat Operasi serta pewujudan sebanyak 1,033 jawatan tetap dan ia satu pencapaian yang signifikan dalam sejarah statistik negara.
Menurut Uzir, pihaknya turut mengenang Abdullah sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan penjawat awam, termasuk usaha beliau dalam menaikkan kadar gaji serta memperbaiki persekitaran kerja sektor awam.
Selain itu, visi beliau dalam memperkasa perkhidmatan awam diteruskan sehingga kini melalui inisiatif Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang memperkukuh tadbir urus dan pengurusan data negara.
“Inisiatif ini turut menyaksikan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) serta Pejabat Pengurusan Perubahan (CMO) yang bertanggungjawab memacu transformasi dalam sistem statistik negara.
“Sebagai kesinambungan legasi beliau, satu Akta Statistik baharu sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen, bagi menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang sudah tidak lagi selari dengan keperluan semasa,” katanya.-UTUSAN