KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberikan sebarang honeymoon period atau tempoh bulan madu kepada Jemaah Menteri dalam menguruskan kementerian masing-masing walaupun baru sahaja selesai rombakan Kabinet.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, Perdana Menteri tidak ada menyatakan secara khusus tempoh masa diberikan kepada Menteri dan Timbalan Menteri yang baru dilantik.
Bagaimanapun, katanya, dalam mesyuarat tersebut sangat jelas bahawa tidak ada bulan madu untuk Menteri dan Timbalan Menteri yang baharu.
“Hal ini kerana ada di kalangan mereka pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri jadi banyak perjalanan pentadbiran sudah biasa bagi mereka tetapi ada sebahagian mungkin masih baharu jadi mungkin ada sedikit masa diperlukan untuk memahami selok belok menguruskan kementeriannya.
“Tetapi saya percaya Perdana Menteri akan memantau melalui Jemaah Menteri untuk memastikan isu pentadbiran anggota Kabinet dapat diuruskan segera dan Insya-Allah, dalam bulan Januari nanti akan ada satu pemukiman Jemaah Menteri diadakan.
“Ia adalah untuk memastikan hala tuju, objektif, matlamat dan beberapa perkara yang ingin ditegaskan Perdana Menteri sampai kepada semua dan dapat diberikan ruang kepada semua untuk bersedia menghadapi tahun 2026,” katanya pada Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi, di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Perdana Menteri memberi peringatan tegas kepada Menteri dan Timbalan Menteri yang baharu dilantik untuk meneliti beberapa aspek penting dan memahami secara mendalam pengurusan kementerian atau dasar sedang dirangka.
Katanya, Menteri dan Timbalan Menteri baharu juga diminta untuk tidak membuat apa-apa keputusan dalam tempoh terlalu singkat sebaliknya memberikan masa kepada penjawat awam memberikan pandangan terlebih dahulu sebelum mengenai sesuatu perkara.
“Perdana Menteri juga memberi ruang kepada semua anggota Jemaah Menteri yang baharu untuk menelaah beberapa perkara sebelum membuat keputusan melibatkan dasar.
“Ini penting kerana ada di kalangan Menteri baharu belum benar-benar memahami sistem di dalam Jemaah Menteri jadi perkara itu perlu diteliti,” katanya. – UTUSAN










