KUALA KUBU BHARU: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) memperkukuh latihan dan pembangunan kepimpinan Pengakap Laut menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Pelita Akademi Sdn. Bhd. bagi meningkatkan standard latihan, keselamatan serta kompetensi belia berteraskan bidang maritim.
Kerjasama strategik itu membuka laluan kepada penggunaan fasiliti latihan bertaraf profesional dan pemindahan kepakaran industri bagi melahirkan pemimpin Pengakap Laut yang lebih berwibawa serta bersedia memimpin di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ts. Mohd. Hilmi Abu Bakar berkata, MoU berkenaan memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan latihan Pengakap Laut di negara ini.
“Kerjasama ini membuka ruang strategik untuk memanfaatkan kepakaran industri dan fasiliti latihan yang komprehensif, sekali gus menyokong hasrat PPM melahirkan pemimpin Pengakap Laut yang kompeten dan bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan kerjasama industri itu turut membantu meningkatkan standard keselamatan latihan, khususnya melibatkan aktiviti kelautan dan air yang memerlukan pematuhan prosedur serta disiplin tinggi.
Hilmi berkata, langkah itu selari dengan keperluan semasa untuk memastikan latihan Pengakap Laut bukan sahaja berteraskan nilai kepimpinan dan sahsiah, malah menepati keperluan teknikal serta keselamatan moden.
Majlis pemeteraian itu berlangsung bersempena Kursus Kepimpinan Asas Pemimpin Pengakap Laut Peringkat Kebangsaan Kali Kelima (5th National Skipper BASIC) yang diadakan di Kompleks Latihan Pelita Akademi, Kuala Kubu Bharu.
Kursus yang berlangsung dari 11 hingga 14 Disember lalu itu melibatkan seramai 85 peserta dari seluruh negara dan memberi tumpuan kepada kemahiran asas kelautan, kepimpinan serta keselamatan air. – UTUSAN







