Pengakap Malaysia dinobat NGO Terbaik Badan Beruniform APNM 2025

Pengakap Malaysia dinobat NGO Terbaik Badan Beruniform APNM 2025

MOHD. ALI Mohd. Rustam menyampaikan anugerah kepada Mohd. Zin Bidin pada Malam Gala Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 di sebuah hotel di Bandar Sunway, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah NGO Terbaik Kategori Badan-Badan Beruniform pada Malam Gala Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 (APNM 2025).

Anugerah itu disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan PPM kepada pembangunan negara sejak 1908.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi ribuan pemimpin dan sukarelawan pengakap di seluruh negara.

“Anugerah ini amat bermakna bagi PPM kerana ia mengiktiraf khidmat bakti ribuan sukarelawannya yang berada di barisan hadapan, membimbing generasi muda menjadi pemimpin masa depan negara.

“Sejak 117 tahun yang lalu, Pergerakan Pengakap telah menjadi sebuah universiti kehidupan kepada jutaan anak muda untuk belajar tentang erti tanggungjawab, kepimpinan, disiplin dan kesukarelawanan.

“Anugerah ini saya terima dengan penuh rasa rendah diri, dan saya dedikasikan kepada seluruh pemimpin dan ahli Persekutuan Pengakap Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam.

PPM dipilih berdasarkan sumbangan signifikan dalam melahirkan kepimpinan berwibawa, memupuk budaya kecemerlangan dan memperkukuh perpaduan nasional melalui pendidikan bukan formal dan gerakan kesukarelaan belia.

Malam Gala APNM 2025 dianjurkan oleh Yayasan Generasi Malaysia (YGM) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia Press.

Sejak diasaskan di negara ini pada 1908, PPM terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia melalui pendekatan pendidikan bukan formal yang berteraskan nilai disiplin, tanggungjawab dan khidmat kepada masyarakat.

Malam Gala APNM 2025 turut diserikan dengan penyampaian anugerah kepada NGO-NGO lain, pelancaran Buletin IMPAK NGO Malaysia, serta sesi ramah mesra antara kepimpinan NGO dan tetamu kehormat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×