KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, nama penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah kembali menjadi tumpuan apabila dirinya berkongsi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) milik anak perempuannya, Airra Zulkifli yang meraih satu A.
Menurut Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Shiera, dia tetap berbangga dengan pencapaian anaknya itu meskipun keputusan tersebut tidak memuaskan bagi sesetengah pihak.
“Sebenarnya keputusan satu atau dua A memang level keluarga saya walau sudah berusaha macam mana pun. Salah satu yang dapat A pasti bahasa Inggeris.
“Kalau netizen nak cakap saya memalukan anak atau apa pun, saya tak kisah dan pergi mati (dengan kecaman). Kalau hari ini murung, perbaiki diri dan jadi lebih baik. Tiada masa untuk murung, saya juga tak mahu berdrama,” katanya.
Sheira berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis rumah terbuka Sinar FM di sini, semalam.
Tidak terkesan dengan tohmahan yang diterima, penyampai radio tersebut turut menyifatkan seseorang itu juga boleh berjaya sekirang mempunyai adab.
“Memang ada orang cakap saya malukan dan kasihan anak, tetapi saya sudah biasa dengan perkara itu termasuk orang cakap saya bodoh dan artis tiada ilmu.
“Di sini, saya nak buktikan pada orang, kalau tiada ilmu pun kita boleh berjaya dan banyak cara lain termasuk beradab. Kadang-kadang kalau terlampau bijak, banyak sangat pendapat dalam hidup pun nak jadi apa?
“Saya sentiasa sokong anak dan kalau dia kecewa sekarang, jangan sedih sebab perjalanan masih panjang. Dapatkan keputusan baik pula untuk diploma atau sarjana muda nanti,” jelasnya.
Sheira bagaimanapun memaklumkan dirinya tetap akan menyokong minat anaknya untuk melanjutkan pelajaran dalam aliran pendidikan yang mereka minati.
Sebelum ini, Shiera mengakui dirinya tetap berbangga dengan keputusan Airra yang meraih satu A dalam peperiksaan SPM 2024, namun perkara itu juga turut menuai pelbagai reaksi dari kalangan warganet.
Malah, ada sesetengah pihak menyifatkan penyampai radio tersebut sengaja mahu memalukan anaknya.