MELAKA: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bertindak keluar Dewan selepas tidak berpuas hati terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ibrahim Durum yang didakwa menyekat kebebasan bersuara.
Ketua Pembangkang, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (PN-Bemban) berkata, suara rakyat yang dibawa oleh pembangkang seolah-olah tidak didengari apabila isu-isu rakyat yang diketengahkan cuba ‘dimatikan’ separuh jalan.
Beliau berkata, tindakan tersebut dilihat menafikan hak kebebasan bersuara pembangkang di dalam Dewan.
“Kami bertiga adalah pembangkang, tidak boleh yes boss sahaja. Tiba-tiba Merlimau (Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh) mencelah ketika saya sedang membahaskan usul dan mengatakan saya memberi tanggapan atau prasangka buruk terhadap kerajaan negeri.
“Kita membangkitkan satu-satu isu kerana itu adalah tugas kerajaan negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco). Tetapi Merlimau menggelarkan saya pekak apabila mengatakan Ketua Menteri (Datuk Seri Ab. Rauf Yusof) lebih banyak berhibur berbanding menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Kekecohan berlaku apabila Mohd. Yadzil membangkit isu melanda Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika sesi Perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan Mohd. Yadzil dibantah Muhamad Akmal kerana dilihat sengaja memberikan tanggapan negatif terhadap kerajaan negeri.
Keadaan menjadi lebih tegang selepas campur tangan Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) dan Datuk Muhammad Jailani Khamis (PN-Rembia) sehingga ketiga-tiga ADUN pembangkang sepakat keluar dari Dewan.
Sementara itu, Mohd. Aleef mendakwa, Ibrahim bersifat berat sebelah apabila meminta Mohd. Yadzil menarik balik kenyataannya sementara tidak berbuat demikian terhadap Muhamad Akmal.
Menurutnya, Ibrahim sepatutnya bersikap melindungi pembangkang dan bersikap neutral tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
“Saya agak kecewa dan terkilan dengan tindakan speaker yang seolah-olah tidak menjadi speaker untuk kita (pembangkang). Beliau (Ibrahim) mesti adil dan mempertahankan pembangkang juga.
“Kadang-kadang kami rasa seperti dibuli di dalam Dewan. Kenapa Datuk Speaker hendak menjawab bagi pihak Exco? Ini tidak betul,” tegasnya. – UTUSAN