Iktiraf sekolah zon perlindungan khas kanak-kanak, had laju 30 km/j - Utusan Malaysia

Iktiraf sekolah zon perlindungan khas kanak-kanak, had laju 30 km/j

HASIAH MAT SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tragedi pelajar dirempuh di Kota Bharu, Kelantan tidak boleh dilihat sebagai kemalangan terpencil, sebaliknya amaran besar bahawa kawasan sekolah, termasuk ruang hadapan surau, laluan pejalan kaki, kawasan turun-naik pelajar dan zon menunggu ibu bapa, masih belum benar-benar selamat.

Aktivis Hak Asasi Manusia, Dr. Hasiah Mat Salleh berkata, negara memerlukan pembaikan menyeluruh pertama, mengiktiraf zon sekolah sebagai zon perlindungan khas kanak-kanak.

“Had laju 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan sekolah perlu digazet dan dikuatkuasakan secara tegas, bukan sekadar saranan. Ketika ini, Malaysia sudah bergerak ke arah memperkukuh langkah tersebut dan ia wajar disegerakan tanpa berlengah. Standard reka bentuk keselamatan sekolah oleh pihak teknikal juga menekankan keperluan pengurangan kelajuan di zon sekolah.

“Kedua, setiap sekolah perlu menjalani audit keselamatan persekitaran sekolah secara berkala. Audit ini tidak seharusnya terhad kepada pagar, kamera litar tertutup (CCTV) atau disiplin pelajar semata-mata, tetapi mesti meliputi aliran trafik, tempat parkir, titik buta pemandu, laluan pejalan kaki, bonggol, penghadang, zebra crossing serta kedudukan kawasan menunggu pelajar. Keselamatan fizikal kanak-kanak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tadbir urus sekolah yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr. Hasiah berkata, Malaysia perlu bergerak daripada budaya “berhati-hati” kepada budaya akauntabiliti berstruktur.

“Pemandu mesti diperingatkan bahawa berada berhampiran sekolah bukan seperti memandu di kawasan biasa. Dalam ruang yang dipenuhi pelajar, satu saat kecuaian boleh memadamkan seluruh masa depan seorang anak.

“Pada masa sama, pihak sekolah, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi pengangkutan dan ibu bapa juga mesti memikul tanggungjawab bersama. Keselamatan anak-anak bukan boleh diserahkan kepada nasib,” katanya.

Keempat, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PGSM) Pahang berkata, daripada sudut undang-undang dan dasar, Malaysia perlu mempertimbang satu pendekatan lebih tegas berasaskan child rights-based safety policy.

“Maksudnya, setiap reka bentuk dan pengurusan kawasan sekolah perlu bermula dengan soalan ini, adakah tempat ini benar-benar selamat untuk seorang kanak-kanak?.

“Jika jawapannya ragu-ragu, maka dasar itu belum memadai. Hak kanak-kanak untuk hidup dan selamat tidak boleh bergantung kepada ihsan keadaan, tetapi mesti dijamin melalui undang-undang, infrastruktur dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam tradisi perundangan dan nilai kemanusiaan, ukuran sebenar sebuah masyarakat bertamadun ialah bagaimana ia melindungi golongan paling rentan.

“Kanak-kanak di sekolah ialah amanah negara. Maka tragedi ini wajib menjadi titik perubahan, bukan sekadar berita sedih yang berlalu dua tiga hari. Kita berhutang kepada arwah dan keluarganya satu iktibar yang lebih besar dalam memastikan tiada lagi anak yang pulang dari sekolah sebagai jenazah kerana kegagalan sistem yang menjaga keselamatan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan maut dipercayai dirempuh sebuah SUV di hadapan sebuah surau dalam kawasan sekolah tersebut ketika sedang memakai kasut selepas selesai menunaikan solat zohor berjemaah.

Mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi. Kejadian pukul 1.50 tengah hari turut mencederakan seorang lagi pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada Allahyarham Nur Fatimatul Hawa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN