PETALING JAYA: Industri perkilangan berhadapan dengan peningkatan kos eksport sehingga 30 peratus sekiranya Malaysia gagal menghentikan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini.
Tinjauan awal Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati pengilang tempatan menjangkakan impak yang besar terhadap struktur kos dan daya saing sekiranya tarif 24 peratus itu dilaksanakan.
Secara khusus, setiap syarikat menjangkakan mereka akan menghadapi peningkatan kos eksport antara 10 hingga 30 peratus berpunca daripada peningkatan kos logistik, pematuhan dan perubahan sumber bekalan akibat gangguan rantaian bekalan global.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pada ketika ini terdapat kebimbangan besar bahawa pembeli dari AS akan menuntut rundingan semula harga atau diskaun bagi menampung kos mendarat lebih tinggi ke atas barangan dari Malaysia.
Menurut beliau, keadaan tersebut dijangka akan menekan margin keuntungan dalam lingkungan 10 hingga 30 peratus dan mungkin lebih ketara pada sektor yang sangat bergantung pada pasaran AS seperti bukan semikonduktor, jentera industri, produk getah dan alat perubatan.
“Walaupun jumlah kerugian keseluruhan sukar untuk dianggarkan ketika ini, trend semasa menunjukkan potensi penyusutan hasil dan keuntungan sekiranya tarif benar-benar dilaksanakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, AS dilaporkan mahu mengenakan tarif 24 peratus ke atas Malaysia apabila Trump mengumumkan langkah-langkah baru yang meluas sebagai sebahagian daripada tindakan Hari Pembebasan beliau.
Bagaimanapun, AS membuat ‘pusingan U’ apabila menangguhkan tarif timbal balik itu selama 90 hari kepada 65 negara rakan dagangnya termasuk Malaysia.
Thian Lai berkata, pengilang melaporkan bahawa penghantaran sedia ada terutama yang sudah dikontrak atau berada dalam perjalanan belum terjejas secara langsung dengan pengumuman tersebut.
“Namun begitu, langkah berjaga-jaga semakin meningkat. Banyak syarikat telah memulakan rundingan awal bersama pelanggan di AS untuk menilai semula kontrak selain menimbang langkah penjimatan kos dan meneroka pasaran alternatif.
“Tempoh 90 hari ini tidak digunakan untuk berhenti seketika, sebaliknya menjadi masa penting untuk merangka pelan kontingensi termasuk mempelbagaikan strategi sumber bekalan, menilai semula struktur harga dan melabur dalam kecekapan operasi,” jelasnya.
Katanya, masih terlalu awal untuk memberikan unjuran pasti mengenai perubahan jumlah eksport memandangkan situasi masih berubah dan bergantung kepada hasil rundingan yang sedang berlangsung.
“Namun, ahli-ahli FMM menyuarakan kebimbangan bahawa jika tarif dilaksanakan semula, permintaan eksport mungkin merosot disebabkan penurunan daya saing harga.
“Beberapa syarikat mungkin terpaksa menurunkan harga atau menanggung sebahagian kos tarif bersama pembeli di AS, yang akan memberi kesan langsung kepada keuntungan dan pertumbuhan jangka panjang,” ujarnya.
“Dalam masa yang sama, Malaysia mungkin turut menghadapi kesan sampingan yang tidak disengajakan melalui pengalihan perdagangan, di mana negara yang dikenakan tarif tinggi oleh AS akan mengalihkan eksport mereka ke rantau ASEAN, termasuk Malaysia.
Beliau menggesa kerajaan untuk mengurangkan tekanan kos dan memperkukuh daya saing industri.
“FMM menggesa kerajaan agar menangguhkan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada terjejas,” katanya.










