Aidil puas hati semangat juang The Cats

Aidil puas hati semangat juang The Cats

Aidil Sharin Sahak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tetap melihat satu mata yang diraih pasukannya sebagai keputusan yang positif selepas The Cats mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit mengikat Tampines Rovers FC 2-2 dalam aksi pembukaan Piala Shopee 2026/2027, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata, Aidil optimis anak buahnya telah menunjukkan karakter yang kuat apabila tidak berputus asa sehingga berjaya mengubah kedudukan perlawanan.

Menurutnya, Kuching City menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun ketumpulan penyudah serta ketangkasan benteng lawan menghalang mereka daripada meraih kemenangan.

“Secara keseluruhannya, jika melihat kepada perlawanan ini, kami menguasai permainan dengan baik. Saya rasa kami tidak layak untuk kalah dalam perlawanan ini.

“Kami mempunyai beberapa peluang dan kita juga perlu memberikan kredit kepada penjaga gol serta barisan pertahanan Tampines yang beraksi dengan baik untuk menyekat kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Aidil mengakui Tampines Rovers bukan lawan yang mudah apabila pasukan dari Singapura itu mempamerkan disiplin pertahanan yang tinggi selain berjaya menutup ruang yang cuba dicipta pemain Kuching City.

Katanya, kebangkitan untuk menghasilkan dua jaringan membuktikan The Cats memiliki mentaliti yang tepat bagi bersaing dalam kejohanan berprestij Asia Tenggara itu.

“Kita tidak boleh berhenti di sini. Ini adalah bola sepak dan kami perlu teruskan daripada apa yang kami lakukan hari ini.

“Kami perlu mengambil pengajaran daripada perlawanan ini dan memperbaiki apa yang perlu untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Keputusan seri itu sekurang-kurangnya memberikan permulaan yang memberangsangkan buat wakil Malaysia tersebut dalam usaha memburu kemaraan ke pusingan berikutnya.

Tambah Aidil, pasukannya perlu lebih tajam di hadapan gawang serta perlu memanfaatkan peluang jika mahu mengubah penguasaan permainan kepada kemenangan dalam perlawanan seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini