PETALING JAYA: Masih terlalu awal untuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi menangani isu tarif timbal balik dan perang perdagangan yang dicetuskan Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Program Pengajian Ekonomi, Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, tumpuan utama kerajaan ketika ini seharusnya kepada usaha menggalakkan syarikat-syarikat tempatan bergantung kepada pasaran AS agar mempelbagaikan destinasi eksport.
Katanya, agensi seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu memainkan peranan proaktif dalam demi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran AS.
“Sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara dijangka terkesan, begitu juga sektor-sektor lain seperti plastik dan paling ketara adalah industri perabot. Ini kerana, sebanyak 40 peratus daripada jumlah eksport perabot negara adalah ke AS.
“Sekiranya berlaku penurunan permintaan dari pasaran AS akibat tarif, kita perlu segera mengalih tumpuan eksport ke pasaran lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan tarif yang dikenakan oleh AS sebagai peringatan penting kepada rakyat dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Kim Leng berkata, kerajaan boleh bersedia dengan pakej rangsangan seperti dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 bagi industri terjejas seperti penyediaan pinjaman mudah, pelepasan cukai dan insentif kewangan.
“Namun begitu, pelaksanaan pakej rangsangan ini tidak perlu disegerakan sehingga memperoleh penjelasan sebenar,” katanya.











