PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan dalam hujahan memaklumkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi arahan kepada Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali supaya ‘clearkan’ wang RM1 juta bagi mengelak wang itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Ahli Parlimen Muar itu selaku perayu didakwa bersubahat dengan cara mengarahkan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta.
Menurutnya, ada keterangan menunjukkan perayu mengarahkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) mengeluarkan wang RM1 juta itu pada 6 Mac 2020.
“Perayu mengarahkan SP13 untuk ‘clearkan’ wang itu dan ada keterangan menunjukkan dia menyuruh bekas EXCO Armada BERSATU, Abdul Hannaan Khairy, 32, dan seorang lagi saksi, meletakkan tarikh kebelakang di resit dan sebut harga pada 2 Jun 2020.
“Menerusi perbualan telefon, perayu juga meminta SP13 untuk ‘clearkan’ wang yang disimpan dalam akaun bank parti itu, kerana khuatir wang itu akan disita oleh SPRM.
“Ketika disoal balas, SP13 turut memberitahu mahkamah, maksud ‘clearkan’ ialah tidak menyimpan wang di rumah,” katanya.
Beliau berkata, ketika pemeriksaan utama, SP13 memberitahu perayu menyuruh wang itu dikeluarkan dari akaun Armada kerana perayu memaklumkan, wang itu adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan ketika berhujah mengatakan pembelaan Syed Saddiq berhubung pembayaran balik bagi kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah afterthought (perkara difikirkan kemudian).
Ini kerana perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini adalah sebagai reimbursement (pembayaran balik) kepada perbelanjaan kempen berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – UTUSAN