KAJANG: Kementerian Pendidikan bimbang terhadap peningkatan bilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang gagal dalam semua mata pelajaran, meskipun keputusan keseluruhan mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh 11 tahun.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, peningkatan jumlah berkenaan (jumlah calon gagal) diharap dapat memberikan semangat kepada guru-guru untuk menguasai dan memberikan tumpuan terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
“Guru-guru juga perlu membantu untuk terus memberikan tumpuan kepada segmen-segmen yang perlu diperbaiki berdasarkan keputusan hari ini (semalam).
“Kita akan terus mengambil langkah-langkah penting untuk menambah baik keputusan ini. Saya yakin, ia sudah ada dalam radar KPM,” katanya ditemui selepas meninjau proses penyerahan keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Kajang, semalam.
Katanya usaha pemulihan dilaksanakan menyeluruh, khususnya dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.
Fadhlina berkata, fokus turut diberikan untuk meningkatkan kadar kehadiran pelajar yang menduduki SPM dan mengecilkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar serta melaksanakan langkah-langkah intervensi bagi memastikan peningkatan kadar kelulusan.
“Terdapat banyak segmen yang perlu kita perbaiki. Kementerian memandang serius usaha untuk memastikan lebih ramai pelajar berjaya memperoleh kelulusan, khususnya dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Kita juga akan pastikan peningkatan jumlah pelajar yang layak menerima sijil SPM dan usaha intervensi dilaksanakan, membantu mengurangkan kadar ketidakhadiran calon semasa peperiksaan,” katanya.
Terdahulu Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, seramai 1,789 calon gagal semua subjek berbanding 1,470 pada 2023 dengan faktor utama termasuk kurang fokus, tekanan hidup, kerja malam serta masalah literasi dan numerasi yang tidak ditangani lebih awal.
Jumlah calon yang tidak hadir peperiksaan menurun kepada 6,246 orang berbanding 8,676 pada tahun sebelumnya.
Antara faktor penyumbang ialah calon tidak memberikan fokus kepada proses pembelajaran berikutan sebahagian besar mereka ini bekerja pada waktu malam terutama calon-calon yang kawasan bandar.
Ada juga calon yang menghadapi masalah literasi dan numerasi yang tidak ditangani lebih awal .
Namun katanya, melalui tindakan proaktif dan pendekatan inklusif, keciciran akademik dapat dikurangkan dan lebih ramai pelajar dapat dibantu mencapai kejayaan, termasuklah mendapat sokongan daripada persekitaran pembelajaran di rumah. – UTUSAN