BAGI mendapatkan kepastian identiti individu yang terlibat dengan kes jenayah sama ada mangsa atau pelaku jenayah itu sendiri, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) merupakan kaedah terbaik yang sering dijalankan oleh pihak berkuasa.
Namun,masalah timbul jika individu terbabit yang sudah meninggal dunia atau masih hidup tidak mempunyai rekod di dalam pangkalan data pendaftaran sebagai seorang warganegara.
Lebih menimbulkan masalah jika individu tersebut tidak pernah melakukan jenayah dan mempunyai rekod dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam bentuk cap jari dan sebagainya.
Pencarian sebuah identiti amat kritikal bagi memastikan sesuatu kes tidak kira kes jenayah mahu pun kes imigresen bagi mengenal pasti umur seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dirungkai dengan cepat dan tepat.
Kini, identiti seseorang boleh disahkan dengan ujian terhadap gigi yang dimiliki individu tersebut sama ada yang telah meninggal dunia atau masih hidup.
Pakar Perunding Pergigian Forensik dan Radiologi Maksilofasial di Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr.Mohd. Yusmiaidil Putera Mohd. Yusof berkata, beliau dan pasukannya membangunkan produk inovasi bagi mempercepat pengesahan identiti sepantas 10 saat berdasarkan komposisi gigi milik individu terbabit.
“Produk yang dinamakan F-DentEst Lab V.3.0 yang dibangunkan buat julung kali seumpamanya di peringkat Asia Tenggara bukan sahaja melibatkan pakar perubatan dan pakar pergigian malah pakar komputer atau kecerdasan buatan (AI) serta pihak polis.
“Kerjasama dengan pihak polis disebabkan pihak berkuasa tersebut mempunyai data yang diperlukan untuk membangunkan perisian tersebut.
“Perisian sebegini ada dibangunkan satu di Eropah. Cuma aplikasinya hanya untuk penentuan umur pelarian, tidak digunakan dalam bidang pergigian,”katanya.
Mohd. Yusmiaidil Putera yang juga Felo Utama di Cardiovascular Advancement and Research Excellence(CARE) Institute di UiTM mengambil masa dua tahun untuk proses pembangunan inovasi tersebut.
Jelasnya, sebanyak 2,000 lebih imej sinar X gigi milik individu dibuat pengkelasan melibatkan ujian di makmal dalam usaha membangunkan logaritma AI imej-imej gigi tersebut.
“Bila kita sudah dapat logaritma kita kena buat ujian berapa ketepatannya.
“1,000 daripada 2,000 imej sinar X, kita perlu buat ujian padanan,” katanya.
Selama lebih 15 tahun dalam bidang ini, katanya, proses mengenal pasti identiti mangsa terutamanya dalam kes kebakaran atau jasad yang tinggal rangka sering menjadi cabaran besar sebelum kewujudan perisian tersebut.
Namun kini, identiti seseorang boleh dikenal pasti segera dengan mengambil sampel gigi ‘mangsa’ dan diuji dengan perisian tersebut.
“Bagaimanapun, jika kita mempunyai rekod pergigian melibatkan mangsa kebakaran lebih awal, proses padanan lebih mudah dilakukan.
“Kebiasaannya, individu yang mengambil nutrisi atau diet yang seimbang akan memiliki komposisi gigi yang baik,” ujarnya.
KEPENTINGAN INOVASI
Bercerita pengalamannya sebagai pakar odontologi,kes kebakaran yang melibatkan beberapa individu beberapa tahun lalu amat memberi kesan kepadanya sehingga kini.
Beliau dan beberapa pakar berjaya merungkai identiti kesemua mangsa kebakaran tersebut dalam masa yang singkat berdasarkan rekod pergigian yang sistematik kesemua mangsa.
“Rekod pergigian tersebut amat membantu untuk kita mengenal pasti individu-individu yang menjadi mangsa.
“Rekod dan sampel gigi yang masih boleh dibuat ujian membuktikan kesemua mangsa dijaga dengan baik oleh keluarga mereka,”katanya.
Walaupun kes tersebut berjaya dirungkai, kesan emosi kepada dirinya masih berbekas sehingga kini.
Walaupun memeriksa identiti mangsa yang meninggal dunia satu tanggungjawab hakiki, Mohd. Yusmiaidil Putera berkata, beliau berharap kes kematian akibat jenayah sedemikian tidak berulang kembali.
Daripada aspek kes imigresen, beliau berharap identifikasi PATI mahu pun orang hanyut dapat dimanfaatkan oleh pihak berkuasa dengan teknologi perisian tersebut.
“Identiti atau umur seseorang jika ia tiada dalam dokumen sah akan menjadi pertikaian jika individu tersebut dianggap kanak-kanak.
“Dengan perisian tersebut dan data yang kita ada, umur individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri boleh disahkan segera,” ujarnya.
Secara fizikalnya, jika subjek tersebut melibatkan orang yang masih bernyawa, komposisi gigi akan dapat memastikan individu tersebut sudah dewasa atau kanak-kanak.
Kaedah tersebut boleh menentukan sama ada dibicara sebagai kanak-kanak atau orang dewasa dalam mahkamah.
“Bayangkan hukuman dan mahkamah untuk seseorang dibicarakan ditentukan oleh gigi. “Ini membuktikan pentingnya forensik odontologi atau pergigian dengan wujudnya produk F-DentEst Lab V.3.O ini,” ujarnya.
Produk itu sudah sedia dipasarkan oleh sebuah syarikat yang menjadi pengedar tunggal.
Namun buat masa ini, ia masih dalam proses mendapatkan Hak Milik Utiliti Paten yang masih belum selesai .
Untuk itu pihaknya mendapat kerjasama Business Innovation and Technology Commercialization Centre (BITCOM), Universiti Teknologi MARA bagi menguruskan isu paten produk tersebut.-UTUSAN










