PADANG BESAR: Isu pembukaan semula zon aliran bebas di Wang Kelian di sini terus menjadi polemik dan rakyat terus tertanya-tanya bila ia akan dibuka bagi mengembalikan semula kemeriahan di kawasan berkenaan yang pernah menjadi tumpuan pelancong.
Sejak zon aliran bebas ditutup pada 2015 ekoran isu keselamatan, Wang Kelian ibarat kawasan mati dengan orang ramai hanya menjadikan ia sebagai laluan untuk keluar masuk ke Thailand.
Sebelum ini, pelbagai usaha juga telah dilaksanakan bagi menarik kehadiran pelancong termasuk dengan menambah baik arked niaga Wang Kelian di sini, namun ia tidak mencapai objektif apabila kurang mendapat sambutan.
Malah, Arked Wang Kelian yang dibuka lebih setahun lalu juga suram dengan kebanyakkan peniaga sudah tidak mampu bertahan dan hampir keseluruhannya sudah ‘angkat kaki’.
Keadaan tersebut sangat merugikan sekali gus menyaksikan rakyat Malaysia lebih memilih untuk bercuti dan membeli-belah di Thailand dengan direkodkan antara 100,000 sehingga 200,000 pelancong Malaysia mengunjungi negara itu setiap bulan.
Di Wang Kelian ketika ini, hanya View Point menjadi ‘penyelamat’ dalam menarik kehadiran pelancong namun ia sekadar lokasi untuk menyaksikan panorama indah kawasan itu.
Seorang penduduk Kampung Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar, 50, berkata, ekonomi penduduk setempat akan kembali rancak dengan pembukaan semula zon aliran bebas di kawasan berkenaan.
Katanya, jika dahulu, setiap minggu ratusan bas membawa pelancong dari seluruh pelosok negara datang ke zon aliran bebas tersebut dengan ketika itu juga ekonomi penduduk setempat dan negeri begitu rancak.
“Namun kini ia sunyi sepi dan Wang Kelian ketika ini hanya terdapat View Point yang menjadi tumpuan pelancong namun ia sekadar lokasi untuk menyaksikan panorama indah sahaja.
“Manakala Arked Wang Kelian yang beroperasi sebelum ini juga sunyi sepi sehingga menyaksikan peniaga seorang demi seorang meninggalkan perniagaan kerana sudah tidak mampu lagi untuk bertahan.
“Hanya zon aliran bebas sahaja dilihat dapat mengembalikan kerancakan ekonomi setempat dan penduduk sememangnya berharap agar ia dapat beroperasi semula,” katanya.

Tambah Zunaidi, sekiranya usaha bagi menghidupkan semula zon aliran bebas itu memakan masa, pihak berwajib diharap menghidupkan dahulu aktiviti perniagaan di sana dalam menarik kehadiran pelancong tempatan.
“Sementara menanti zon aliran bebas kembali operasi, hidupkan dahulu aktiviti perniagaan contohnya seperti di tapak lapang bersebelahan Kompleks Bebas Cukai di Wang Kelian untuk rancakkan ekonomi sempadan.
“Barangan Thailand juga perlu dibenarkan dijual kerana ini dapat menarik perhatian rakyat tempatan malah kadar sewaan juga diharap tidaklah begitu membebankan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan negeri, Izizam Ibrahim berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi Kementerian Dalam Negeri sememangnya mempunyai perancangan mengaktifkan semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian.
Namun begitu katanya, pada masa ini usaha sedang dilakukan bagi mencari peruntukan sekitar RM4 hingga RM5 juta untuk membina pagar dalam membuka semula operasi zon aliran bebas itu.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan sedang bersama-sama berusaha bagi mendapatkan peruntukan itu dan kemudiannya, barulah kita dapat membina pagar ini untuk membuka semua operasi berkenaan.
“Saya juga difahamkan Kompleks ICQS Wang Kelian juga akan mula dinaik taraf sekitar bulan Oktober atau November ini,” katanya.
Izizam berkata, pembukaan semula zon aliran bebas sememangnya mendapat permintaan penduduk setempat yang menginginkan suasana meriah seperti suatu ketika dahulu.
Katanya, bagaimanapun pengoperasi semula itu hanya dapat dilaksanakan selepas pagar berkenaan dibina bagi memudahkan urusan pemantauan keselamatan.
“Kerajaan negeri juga melihat pembukaan semula zon aliran bebas ini sememangnya diperlukan kerana dapat merancakkan ekonomi di sempadan negara kita dan Thailand.
“Menerusi perbincangan sebelum ini, pihak berkuasa Thailand juga tidak mempunyai halangan sekiranya zon aliran bebas itu beroperasi semula. Pengoperasian semula zon aliran bebas ini juga memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Thailand dalam memastikan ia dapat direalisasikan,” katanya.
Pada tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan kerja ke negeri ini memaklumkan kerajaan sudah mempunyai perancangan ke arah pembukaan semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian.
Bagi tujuan itu, Saifuddin memberitahu, kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pelaksanaan beberapa komponen penting antaranya membabitkan pembangunan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.-UTUSAN.










