SEPINTAS lalu, mungkin ada yang beranggapan anak muda lebih cenderung kepada isu-isu tempatan, budaya pop atau teknologi. Realitinya, terdapat banyak bukti menunjukkan anak muda terutamanya mereka yang celik digital menjadi antara penggerak utama dalam mengangkat semula isu Palestin.
Anak muda yang mahir dalam mengolah kandungan visual, menggunakan platform ini untuk menyebarkan maklumat, video dan kisah peribadi tentang kehidupan di Palestin. Mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana yang mungkin mempunyai agenda tersendiri.
Dengan hanya satu klik, video mengenai penindasan di Gaza atau kisah keluarga yang kehilangan tempat tinggal boleh menjadi tular, mencapai jutaan penonton di seluruh dunia. Ini mengubah landskap kesedaran dan membuka mata ramai orang.
Kempen-kempen boikot terhadap jenama yang didakwa menyokong Israel disebarluaskan melalui media sosial. Mereka menganjurkan petisyen dalam talian dan menyertai demonstrasi jalanan secara besar-besaran. Perhimpunan solidariti untuk Palestin yang menyaksikan ribuan peserta kebanyakannya terdiri daripada anak muda bukti jelas isu ini masih relevan dan membangkitkan semangat mereka. Mereka tidak takut untuk menyuarakan ketidakadilan dan menuntut perubahan.
Bagi sesetengahnya, ia adalah soal kemanusiaan sejagat iaitu rasa simpati terhadap mereka yang tertindas tanpa mengira latar belakang agama atau etnik. Bagi yang lain terutamanya di negara-negara majoriti Muslim, ia adalah soal solidariti agama dan keadilan sosial yang terpahat dalam ajaran agama.
Ada juga yang melihatnya sebagai perjuangan menentang penjajahan, seiring dengan perjuangan kebebasan di tempat lain di dunia. Mereka memahami ketidakadilan di satu tempat boleh memberi kesan di tempat lain.
Anak muda perlu bijak menilai maklumat dan mengelakkan diri daripada terperangkap dalam maklumat palsu. Selain itu, mereka juga berhadapan tekanan dan kritikan terutamanya apabila pandangan golongan ini tidak selari. Walaupun begitu, semangat juang anak muda ini kekal kuat.
Anggapan anak muda tidak lagi mempedulikan perjuangan Palestin tidak tepat malah, mereka adalah barisan hadapan dalam era moden, memanfaatkan teknologi dan semangat globalisasi untuk memastikan isu ini kekal relevan dan mendapat perhatian.
Melalui media sosial, aktivisme dan kesedaran kemanusiaan yang mendalam, anak muda bukan sahaja meneruskan perjuangan Palestin malah memberikan nafas baharu dan dimensi yang lebih luas kepadanya.
Perjuangan ini mungkin berbeza bentuk tetapi intinya iaitu keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia kekal terpelihara dalam jiwa generasi baharu ini.-UTUSAN
SITI HAWANIS MOHD. PUAAT
Pelajar Tahun 3 Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,
Universiti Malaya










