KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalinkan kerjasama strategik dengan 11 Institut Pengajian Mara (IPMa) menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU), hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MoU itu bertujuan memperkukuh kerjasama antara SKMM dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam meningkatkan kualiti capaian internet di IPMa di seluruh negara.
“Inisiatif ini bukan sahaja mempermudah pembelajaran para penuntut Mara dan membolehkan mereka memanfaatkan capaian Internet untuk urusan seharian, bahkan juga sistem penyampaian awam di seluruh institusi Mara dijangka dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.
“Kerjasama antara SKMM dan Mara ini juga turut merangkumi pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang merupakan program kesedaran dengan modul baharu yang sesuai untuk warga kerja dan pelajar institut pengajian tinggi dalam menyediakan khidmat konsultasi bagi penambahbaikan liputan mudah alih dan jalur lebar berasaskan gentian optik, serta eksplorasi teknologi di kawasan kurang liputan
“Selain itu, inisiatif ini merangkumi pembangunan usahawan melalui pembudayaan ICT dan e-dagang, serta program peningkatan kompetensi dan penyelidikan dalam bidang keselamatan siber bagi melahirkan bakat yang memenuhi keperluan industri digital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, antara Institusi Pendidikan Mara (IPMa) yang terlibat meliputi Maktab Rendah Sains MARA, Institut Kemahiran Mara , Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Mara-Japan Industrial Institute, Kolej Poly-Tech Mara, Universiti Poly-Tech Malaysia, Kolej Profesional Mara, Kolej Mara, Universiti Kuala Lumpur, German-Malaysian Institute; dan GIATMARA.
Fahmi turut berharap agar MoU itu dapat memperkasa infrastruktur digital Mara dalam memastikan liputan internet berkualiti tinggi di premis Mara dan menyokong pelaksanaan infrastruktur telekomunikasi yang lebih efisien.
“MoU ini juga merangkumi pembangunan modal insan digital bertanggungjawab dan berdaya saing dalam kalangan warga MARA, termasuk menjadi pengguna digital yang celik siber, serta memiliki kemahiran dalam ICT, e-dagang, dan keselamatan siber bagi menyokong keperluan industri pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN