Tempoh hingga 30 September patuh Akta 852

Tempoh hingga 30 September patuh Akta 852

DANIEL Gooi Zi Sen (dua dari kiri) ketika menyertai Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi tempoh sehingga 30 September ini kepada semua pengusaha premis untuk mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebelum tindakan penguatkuasaan sepenuhnya bermula 1 Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri, Daniel Gooi Zi Sen, berkata pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mendapati sebahagian besar premis mematuhi syarat seperti mempamerkan notis larangan merokok dan perkhidmatan berhenti merokok, bagaimanapun, masih terdapat premis yang belum mematuhi peraturan, khususnya daripada aspek susun atur rak atau almari pameran produk merokok yang tidak mengikut spesifikasi akta tersebut.

“Notis peringatan sudah dikeluarkan kepada pemilik premis untuk tindakan segera sebelum tempoh berakhir. Ketika ini, kita masih dalam fasa advokasi, tetapi selepas 30 September, tindakan tegas termasuk kompaun akan diambil,” katanya selepas menyertai Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Medan Selera R&R Bandar Cassia dan Pusat Komersial Borealis di sini, hari ini.

Pihaknya kini masih berada dalam fasa advokasi yang bertujuan memberi ruang dan masa kepada pengusaha untuk membuat penambahbaikan, namun tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun akan diambil terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi syarat selepas tarikh akhir tersebut.

Daniel memaklumkan, sehingga 5 Ogos, sebanyak 2,647 kompaun dikeluarkan oleh JKNPP atas kesalahan merokok di premis makanan, manakala 137 notis dikeluarkan terhadap premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

“Selain aspek penguatkuasaan, program BeBAs turut memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti bagi mendidik dan melibatkan masyarakat dalam usaha membentuk persekitaran sihat.

“Kerjasama semua pihak sangat penting untuk memastikan pelaksanaan Akta 852 ini berjaya, sekali gus mewujudkan kawasan bebas asap rokok dan meningkatkan tahap kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN