Ibu lemas, anak dua tahun hilang terjatuh dari jambatan - Utusan Malaysia

Ibu lemas, anak dua tahun hilang terjatuh dari jambatan

ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa lemas yang terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang wanita ditemukan lemas manakala anak lelakinya berusia dua tahun masih hilang selepas kedua-duanya dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian yang melibatkan wanita berusia 38 tahun bersama anaknya itu pada pukul 7.15 petang.

Katanya, ketika maklumat diterima, pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berusia 42 tahun yang turut dipercayai terjatuh dari jambatan sama.

“Sejurus menerima maklumat daripada polis, bot bomba digerakkan ke lokasi dan berjaya menemukan wanita berkenaan dalam keadaan terapung di permukaan sungai.

“Mangsa kemudian dibawa naik ke bot dan diberikan bantuan pernafasan oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, wanita itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala anak lelakinya yang dipercayai turut terjatuh ke dalam sungai masih belum ditemukan.

“Operasi SAR bagi mencari kanak-kanak itu dan lelaki berkenaan ditangguhkan pada pukul 8.20 malam ekoran faktor cuaca dan keselamatan, sebelum disambung semula pada pukul 8 pagi esok,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sayani berkata, JBPM sebelum itu menerima maklumat pada pukul 11.36 pagi mengenai seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah.

Katanya, sebuah motosikal Modenas Z15 GT yang dipercayai milik mangsa ditemukan ditinggalkan di bahu jalan di atas jambatan sebelum operasi pencarian segera digerakkan.

“Operasi mencari dijalankan menggunakan bot bomba dan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam radius tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang tiba pada pukul 4.33 petang hanya dapat menjalankan pencarian di permukaan kerana arus sungai yang deras tidak mengizinkan operasi selaman dilakukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN