KUALA LUMPUR: Lebih banyak bank komersial konvensional digesa tampil menawarkan pembiayaan berasaskan harta intelek (IP) sebagai cagaran bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan serta mempercepat peralihan Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata, sokongan institusi perbankan amat penting bagi memastikan idea, inovasi dan kepakaran teknologi tempatan dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi, sekali gus membolehkan syarikat tempatan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi.
Menurutnya, pendekatan pembiayaan itu membuka peluang baharu kepada usahawan, khususnya golongan muda yang mempunyai idea dan hasil inovasi tetapi tidak memiliki aset fizikal seperti tanah, bangunan atau rumah untuk dijadikan cagaran mendapatkan pinjaman.
Katanya, menerusi kemudahan berkenaan, harta intelek yang sebelum ini dianggap sebagai aset tidak ketara kini boleh dimanfaatkan sebagai jaminan pembiayaan bagi membantu syarikat meningkatkan kapasiti perniagaan, meneroka pasaran antarabangsa serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Ini merupakan satu bentuk pembiayaan inovatif yang perlu digalakkan. Kita mahu lebih ramai usahawan muda, jurutera dan mereka yang mempunyai idea serta teknologi berani memulakan syarikat sendiri atau mengembangkan perniagaan sedia ada.
“Mereka boleh menggunakan pembiayaan ini untuk mengembangkan pasaran, meningkatkan teknologi dan melaksanakan R&D,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Penutupan Projek Rintis Pembiayaan Harta Intelek (IP) di Menara MBSB di sini, semalam.
Menurut Tze Tzin, inisiatif itu membolehkan pelbagai jenis industri memanfaatkan harta intelek masing-masing sebagai cagaran, termasuk sektor fesyen, makanan, semikonduktor, reka bentuk cip bersepadu (IC), kejuruteraan, perabot, minyak dan gas, peranti perubatan serta aeroangkasa.
Katanya, Malaysia kini sedang bergerak ke arah menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dan usaha itu memerlukan lebih banyak sokongan pembiayaan bagi membolehkan golongan berkemahiran serta syarikat berasaskan inovasi mengkomersialkan hasil ciptaan mereka.
“Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak bank konvensional mengambil peluang meneroka segmen pembiayaan berkenaan dan tidak hanya bergantung kepada aset ketara seperti hartanah sebagai cagaran,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan bank masih kurang pendedahan terhadap kaedah pembiayaan berkenaan, selain bimbang mengenai risiko penilaian dan kebolehpasaran aset tidak ketara.
“Justeru, langkah Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) menerajui inisiatif itu diharap dapat menjadi contoh kepada institusi perbankan lain menerusi penyediaan kerangka penilaian, perjanjian serta kerjasama dengan rakan teknikal bagi mengesahkan teknologi dan nilai harta intelek yang digunakan sebagai cagaran,” katanya.
Beliau berharap kejayaan projek perintis berkenaan dapat meningkatkan keyakinan bank komersial untuk turut serta dalam segmen pembiayaan itu, sekali gus memperluas akses modal kepada lebih ramai usahawan tempatan.
Katanya, pengiktirafan harta intelek sebagai aset pembiayaan bukan sahaja membantu syarikat mendapatkan modal, malah berpotensi memperkukuh ekosistem inovasi negara dengan menggalakkan lebih banyak idea dan teknologi tempatan dikomersialkan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa berkata, kemudahan pembiayaan berkenaan terbuka kepada semua jenis perniagaan yang mempunyai harta intelek untuk dijadikan cagaran, tanpa mengira sektor industri.
Katanya, perbezaan utama kemudahan itu berbanding pembiayaan konvensional ialah pengiktirafan terhadap IP sebagai cagaran, manakala produk pembiayaan yang ditawarkan masih menggunakan kemudahan sedia ada.
Bagaimanapun, pelaksanaan pembiayaan berasaskan aset tidak ketara itu mempunyai beberapa cabaran, terutama dalam menentukan nilai semasa dan potensi nilai masa depan sesuatu harta intelek.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk penilaian nilai komersial sesuatu reka bentuk atau teknologi, selain kewujudan pasaran sekunder sekiranya peminjam gagal melunaskan pembiayaan.
“Aspek pengesahan pemilikan serta keboleh pindahan hak paten kepada pemilik baharu juga perlu diteliti bagi memastikan harta intelek berkenaan boleh dijadikan cagaran yang sah dan mempunyai nilai kepada institusi kewangan,” katanya. – UTUSAN











