IPOH: Kontinjen Perak menyasarkan membawa pulang keseluruhan 160 pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung Ogos depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada jumlah itu, fokus utama kontinjen negeri adalah meraih 50 pingat emas menerusi penyertaan dalam 37 acara sukan.
Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan potensi setiap acara dengan ada sukan disasarkan menyumbang antara satu hingga empat pingat emas, manakala selebihnya menyasarkan pingat perak dan gangsa.
“Sudah tentu keputusan sebenar hanya akan ditentukan ketika pertandingan berlangsung, namun kita mengharapkan sasaran 50 pingat emas itu dapat dicapai hasil kerjasama, komitmen dan pengorbanan semua pihak termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN), kontinjen dan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kontinjen Sukma Negeri Perak Bil. 2/2026 di Royal Perak Golf Club, di sini hari ini.
Menurut Khairudin, persiapan atlet Perak kini berada di peringkat akhir dengan tumpuan latihan lebih menjurus kepada aspek taktikal serta pemantapan psikologi dan mental berbanding latihan berintensiti tinggi.
Beliau berkata, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan atlet mengalami kecederaan atau keletihan mental menjelang temasya, selain memastikan mereka berada pada tahap terbaik ketika beraksi.
“Ketika ini kita hanya menjalankan latihan ringan dan fokus kepada mengukuhkan ketahanan mental dan psikologi kerana aspek itu akan menjadi faktor penting yang menentukan keupayaan atlet ketika berada di gelanggang.
“Jika mental mereka tidak kuat, mereka tidak akan mampu berjuang. Sebab itu kita memperkukuhkan elemen tersebut supaya atlet bersedia mengharungi cabaran termasuk tekanan daripada pihak lawan dan sorakan penonton sepanjang temasya Sukma nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap persiapan keseluruhan atlet selepas meninjau sendiri sesi latihan beberapa pasukan yang bakal mewakili Perak pada temasya berkenaan.
Katanya, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pengurus pasukan, jurulatih dan atlet sepanjang tempoh latihan memberikan keyakinan bahawa sasaran yang ditetapkan mampu direalisasikan di Sukma Selangor.
“Saya ada turun padang dan lihat komitmen pengurus, jurulatih dan atlet yang cukup baik. Mereka berlatih bersungguh-sungguh dan kita harap ia dapat dibuktikan dengan pencapaian di Sukma nanti,” katanya. – UTUSAN










