Bersatu elak kempen bangkitkan salah faham, langgar perundangan

Bersatu elak kempen bangkitkan salah faham, langgar perundangan

MUHYIDDIN Yassin semasa sidang akhbar selepas majlis pengumuman calon Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan di Nilai, Seremban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengelakkan sebarang perkara yang dlihat boleh menjurus kepada pelanggaran Perlembagan dan perundangan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu menyedari terdapat batas-batas tertentu berkaitan kemelut di negeri ini dan oleh itu akan mengelakkan segala perkara yang boleh membangkitkan salah faham.

“Daripada sudut parti, kita tahu batas-batas tertentu. Kita ada perkara-perkara yang saya kira supaya tidak bangkitkan salah faham ataupun orang menyebutkan sebagai pelanggaran Perlembagaan dan sebagainya, itu saya fikir di peringkat kami, kami akan elakkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan di Nilai hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau bahan kempen yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sepanjang PRN Negeri Sembilan.

Katanya, semua pihak termasuk calon dan penyokong parti perlu berkempen secara berhemah serta mematuhi undang-undang bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, harmoni dan terkawal.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi memastikan Bersatu lebih kuat dan berpengaruh pada masa depan, sebuah gabungan baharu akan ditubuhkan termasuk membabitkan beberapa buah parti yang bersama di dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

“Saya sudah bertemu dengan ramai dalam kalangan pemimpin parti IPR sebagai contoh, yang menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan kita. Ada strategi tertentu juga akan dipastikan ke depan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16,” katanya.

Namun begitu, jelas beliau, sementara ini Bersatu masih lagi berada di dalam Perikatan Nasional (PN).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN