KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tiada cukai jalan dan insurans tetap perlu menyelesaikan pembaharuan kedua-dua dokumen itu sebelum dibenarkan mengambil semula kenderaan mereka.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan penguatkuasaan akan tetap dilaksanakan terhadap mana-mana pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi undang-undang meskipun hanya dikenakan kompaun maksimum RM300.
“Tidak kira apa jenis kenderaan mewah sekalipun, jika ia disita JPJ kerana tiada cukai jalan dan insurans, pemilik wajib memperbaharui kedua-duanya terlebih dahulu sebelum boleh membayar kompaun dan menuntut semula kenderaan mereka.
“Ini pendekatan semasa yang kita guna pakai. Siasatan tetap dilakukan dan penguatkuasaan dilaksana mengikut undang-undang sedia ada,” katanya selepas merasmikan Program Keselamatan Penunggang Pandasafe anjuran Foodpanda Malaysia dengan kerjasama awam di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata sebarang cadangan untuk meningkatkan kadar hukuman ke atas pemilik kenderaan mewah yang sengaja tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans memerlukan penelitian semula terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
“Setakat ini, akta sedia ada hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menyita kenderaan yang tidak patut berada di jalan raya kerana tidak memiliki perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui terdapat banyak kenderaan mewah lain yang masih bebas di jalan raya walaupun tidak mempunyai cukai jalan dan insurans yang sah, dan tindakan tegas perlu diambil melalui operasi secara berterusan.
“Matlamat operasi ini bukan semata-mata untuk menyita, tetapi juga mendidik masyarakat agar tidak mengambil mudah perkara ini kerana ia boleh mendatangkan implikasi buruk, selain perlu menanggung kompaun serta kesulitan apabila kenderaan disita,” katanya
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ferrari, Lamborghini milik selebriti, ahli perniagaan antara 1,000 kenderaan mewah dikesan JPJ tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans untuk tempoh lama.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan maklumat, kenderaan mewah itu tidak digunakan setiap hari sebaliknya dipandu pada hujung minggu dan hari tertentu.
Dalam perkembangan lain, Anthony memuji langkah foodpanda memperkenalkan inisiatif keselamatan Pandasafe Rider Safety Programme, menggunakan teknologi telematik untuk menilai dan memantau cara tunggangan penunggang mereka.
“Ini menunjukkan komitmen syarikat penghantaran dalam membudayakan keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan penunggang, dan ia bukti kerjasama strategik kerajaan dengan sektor swasta.
“Saya tidak mahu mana-mana syarikat penghantaran memaksa pekerja penghantar makanan memecut atau mengejar masa hingga mengabaikan keselamatan demi trip. Budaya keselamatan mesti dijadikan sebahagian daripada sistem korporat mereka,” katanya.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan penyampaian topi keledar keselamatan kepada para rider foodpanda sebagai simbolik pelancaran program keselamatan Pandasafe bersama Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk. – UTUSAN










