BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel melanjutkan larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa terhadap Mufti Besar Baitulmuqaddis dan wilayah Palestin, Sheikh Mohammed Hussein susulan kandungan khutbah beliau mengenai Gaza, pada Rabu.
Menurut peguam Sheikh Hussein, larangan awal selama lapan hari kini dilanjutkan selama enam bulan lagi, sekali gus menghalang beliau daripada memasuki tapak suci tersebut yang terletak di Baitulmuqaddis Timur.
Larangan itu dikenakan selepas khutbah Jumaat pada penghujung Julai di mana Sheikh Hussein mengutuk dasar kebuluran Israel terhadap dua juta penduduk Palestin di Gaza, lapor agensi berita Wafa.
Sheikh Hussein kemudian dipanggil oleh pasukan keselamatan Israel pada 27 Julai dan diberi perintah pengusiran selama lapan hari dari masjid, yang kini diperbaharui.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Pihak Berkuasa Palestin mengecam tindakan tersebut dalam satu kenyataan.
“Larangan terhadap mufti ini adalah satu percubaan terang-terangan oleh pihak penjajah (Israel) untuk mengosongkan Al-Aqsa daripada tokoh-tokoh agama yang menentang perancangannya.
“Ia juga menunjukkan sejauh mana pelanggaran yang dilakukan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat secara umum serta di Masjid Al-Aqsa khususnya,” menurut kenyataan itu.-AGENSI










